Delyva, HappyFresh Malaysia jalin kerjasama pengurusan sistem penghantaran cekap | DagangNews Skip to main content

Delyva, HappyFresh Malaysia jalin kerjasama pengurusan sistem penghantaran cekap

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 April - Delyva Sdn Bhd (Delyva) hari ini mengumumkan HappyFresh Malaysia memilih sistem pengurusan penghantaran DelyvaX untuk memperkemas operasi penghantaran termasuk di pasar raya fizikal HappyFresh yang baru dilancarkan. 

 

HappyFresh Malaysia menerusi DelyvaX membolehkan sistem pesanan dalam taliannya mencapai perkhidmatan kurier pihak ketiga dengan lancar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Delyva, Hanif Wahid berkata, pihaknya memperkenal HappyFresh dengan penyelesaian digital yang menjadikan pengurusan penghantaran lebih cekap. 

 

"Sistem kami mengautomatikkan pemprosesan pesanan dan kemas kini status penghantaran, jadi tidak perlu lagi memuat turun pesanan secara manual atau memuat naik kepada kurier pihak ketiga. 

 

"Akhirnya, peningkatan kecekapan tersebut menguntungkan pelanggan juga. Kami bertuah dapat bekerjasama dengan HappyFresh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

delyva
Hanif Wahid

 

 

Pengarah Urusan HappyFresh Malaysia, Hu Hun Hui berkata, HappyFresh menikmati pengurangan tempoh memproses pesanan yang ketara dan tempoh pengagihan pesanan optimum hasil proses automatik yang diperkenal DelyvaX.

 

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah pesanan Ramadan ini dan musim perayaan Hari Raya yang akan datang. 

 

 

delyva

 

 

"Kami gembira Delyva membantu kami memperkemas proses supaya penghantaran dikendalikan dengan betul bagi memastikan kepuasan hati pelanggan,” katanya.

 

Delyva mempunyai lebih daripada 20 rakan kurier standard dan rakan penghantaran segera yang beroperasi di kebanyakan bandar besar dalam Malaysia. - DagangNews.com