KUALA LUMPUR 13 Feb - Deloitte Malaysia menjangkakan pembentangan Bajet 2023 akan menyaksikan kerajaan mengesahkan semula pelaksanaan cukai minimum global (GMT) terhadap syarikat multinasional (MNC).
Sebelum ini, sistem percukaian antarabangsa itu pernah dibentangkan dalam Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu, sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke15 (PRU15).
Cukai itu yang dijangka dilaksanakan pada 2024 memperkenalkan Kadar GMT seperti yang disyorkan di bawah Pillar 2 Pelan Tindakan Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 1 dan pelaksanaan QDMTT setelah menyelesaikan kajian terperinci.
GMT pada 15% ialah kadar 'rendah' baharu untuk kadar cukai berkesan (ETR) bagi MNC besar dan Malaysia adalah antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melaksanakan sistem cukai tersebut.
Pengarah Cukai Antarabangsa Deloitte Malaysia, Kelvin Yee berkata, GMT tidak bergantung kepada kerajaan hari ini memandangkan ia dijangka dilaksanakan pada 2024.
Menurutnya, MNC beroperasi dalam sekurang-kurangnya dua bidang kuasa, dengan pendapatan kumpulan disatukan tahunan minimum sebanyak €750 juta dengan sekurang-kurangnya dua daripada empat tahun fiskal sebelum itu akan berada dalam skop.
Sehubungan itu, kumpulan besar tertentu, terutamanya kumpulan tersenarai Malaysia dan pelaburan MNC besar berasaskan asing akan terjejas.
"Tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai keuntungan modal dan cukai warisan yang merupakan pilihan tersedia kepada kerajaan Malaysia, sebaliknya, GMT tidak.
"Jika Malaysia tidak melakukannya, hak cukai akan diserahkan kepada negara lain yang akan melaksanakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan yang terjejas harus menjalankan penilaian impak dan menilai kesediaan data mereka pada awal 2023 dan tidak seharusnya terganggu dengan fakta bahawa Malaysia tidak menggubal peraturan.
Tambahan pula, katanya, peraturan GMT sepatutnya selari dengan kedudukan OECD dan tiada penyelewengan besar dijangka berlaku.
"Walaupun pemulangan GMT pertama hanya akan dibuat lebih lama kemudian, masa adalah sangat penting memandangkan penilaian impak mungkin mengambil masa, terutama untuk kumpulan yang lebih besar," jelasnya.
Menurut Yee, selepas penilaian impak, diagnosis mengenai kesediaan data dan keperluan untuk sumber tambahan akan menjadi kritikal.
"Kesan terhadap insentif cukai sedia ada dan permohonan baharu juga mesti dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pembayar cukai," tambahnya. -DagangNews.com








