KUALA LUMPUR 16 Mac - Delegasi Sarawak bertemu Pertubuhan Pelancongan Dunia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) untuk meneroka peluang kerjasama menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan lestari.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai lawatan rasmi pertama negeri ke ibu pejabat UNTWO di Madrid, Sepanyol pada 10 Mac 2023.
Menurut satu kenyataan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), negeri itu berharap hubungan dengan agensi PBB itu dapat membawa manfaat agar ia dapat menjadi destinasi lestari terkenal.
Sarawak juga menyasarkan pentauliahan Indeks Kelestarian Destinasi Global dari Majlis Pelancongan Lestari Global.
STB berkata, “Perbincangan dua hala itu turut menyentuh potensi sokongan UNWTO terhadap persidangan antarabangsa yang dimulakan oleh Sarawak Research Society (SRS), iaitu Persidangan Antarabangsa Pelancongan Bertanggungjawab dan Hospitaliti (ICRTH), yang pertama kali dianjurkan pada tahun 2021 secara maya dan melibatkan 96 negara.”

Di samping itu, perbincangan itu turut menyentuh pemilihan Sarawak sebagai ‘Affiliate Member’ UNWTO, bagi mengiktiraf segala usahanya dalam aspek pelancongan bertanggungjawab, sebagai destinasi utama eko-pelancongan serta destinasi tumpuan acara perniagaan di Asia Tenggara.
Dalam ucapan beliau di pertemuan tersebut, Abdul Karim berkata Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar negeri itu merangkumi ekonomi hijau dan biru, bagi memastikan lanskap yang kukuh dalam aspek kelestarian serta perlindungan alam sekitar.
“Untuk mengekalkan keseimbangan sumber aslinya, Sarawak juga akan memulakan inisiatif ekonomi biru yang lestari dengan mengambil pendekatan holistik bagi merealisasikan ekonomi berasaskan kelestarian laut,” katanya.
Sarawak turut menjalin kerjasama dengan badan pelancongan antarabangsa termasuk Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) dan UNESCO.
Dengan pelbagai pengiktirafan daripada UNESCO, STB berkata Taman Negara Niah Sarawak berpotensi tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS) menjelang 2025. -DagangNews.com








