Decathlon Malaysia sasar guna tenaga lestari di semua premis menjelang 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Decathlon Malaysia sasar guna tenaga lestari di semua premis menjelang 2026

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Decathlon Malaysia menyasarkan penggunaan 100% tenaga boleh diperbaharui di semua premisnya menjelang 2026, menekankan komitmen syarikat dalam usaha memacu kelestarian tenaga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Arnaud Sauret berkata keyakinan syarikat sentiasa teguh terhadap potensi sukan dalam usaha memacu matlamat kelestarian.

 

“Dengan memperkasakan orang ramai untuk bersukan mengikut kemampuan masing-masing, kami berusaha untuk membina keadaan semasa dan masa depan yang lebih mampan dan ceria untuk generasi akan datang.

 

“Ia bukan sahaja menuntut kami untuk menghargai bidang perniagaan yang tidak ternilai ini, tetapi turut menuntut pemupukan nilai kemanusiaan yang lestari,” ujar beliau selepas meraikan kejayaan pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) atas bumbung di salah sebuah gedung terbesar mereka iaitu Decathlon Shah Alam.

 

Mengulas pemasangan sistem tersebut, Ketua Pengembangan Decathlon Malaysia, Atul Gupta berkata, “Dengan inisiatif ini, kami dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 38% setahun di Decathlon Shah Alam. Selepas ini, semua kedai kami yang bersendirian akan dilengkapi dengan panel solar atas bumbung.”

 

Menurut kenyataan tersebut, inisiatif tersebut direalisasikan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Solarvest, di mana syarikat itu akan membekalkan pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui di cawangan Decathlon yang lain pada masa akan datang,  Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA atau CGPP di Malaysia) dan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (I-REC atau TIGR).

 

Dengan wawasan Solarvest untuk membekalkan dunia dengan tenaga yang dijana semula, Decathlon Malaysia berkata ia terlibat dengan keseluruhan rantaian nilai tenaga bersih yang merangkumi pembangunan, pembiayaan, kejuruteraan, pembinaan, dan penyelenggaraan aset solar PV.

 

Selain itu, ia turut memulakan pelan hala tuju strategik bagi menerokai rumusan lestari baharu merentasi ekosistem tenaga bersih, seperti sistem penyimpanan tenaga (ESS), sijil tenaga boleh diperbaharui (REC), hidrogen hijau, dan pusat data hijau.  

 

Menurut Gupta, strategi kelestarian hartanah Decathlon Malaysia dibina atas konsep ‘Reduce - Replace – Rebuild', menerusi lima tonggak strategik iaitu pengurusan tenaga, bangunan hijau, tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau dan kepelbagaian bio.

 

Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Peralihan Kumpulan Decathlon 2020-2026, syarikat itu berkata komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar melangkaui tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian dalam bidang hartanah semata-mata.

 

Kumpulan itu telah mereka bentuk produknya berlabel ECODESIGN dengan memberi tumpuan kepada pengurangan bahan mentah, penggunaan komponen kitar semula dan pengintegrasian pendekatan baharu semasa proses pembuatan bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan air.

 

Tambahnya, menjelang tahun 2026, 100% produk sukan mereka akan direka bentuk secara mesra ekologi dengan pelabelan alam sekitar.  - DagangNews.com