DearTime tawar perlindungan insurans untuk manfaat golongan B40 di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DearTime tawar perlindungan insurans untuk manfaat golongan B40 di Malaysia

Jon Ng
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - DearTime, pengendali insurans hayat pertama di Malaysia di bawah Pengawalseliaan Teknologi Kewangan Bank Negara Malaysia (Sandbox) mengumumkan penawaran program insurans tajaan. 

 

Inisiatif yang pertama seumpamanya ini membolehkan pemegang polisi DearTime berkongsi keihsanan melalui polisi-polisi insurans mereka, sekali gus membantu meningkatkan kadar penembusan perlindungan insurans dalam kalangan komuniti B40 di Malaysia. 

 

Menerusi Insurans Tajaan DearTime, para pelanggan boleh memperuntukkan sehingga 10% daripada premium mereka kepada Dana Kebajikan DearTime.

 

Dana yang diperuntukkan ini akan digunakan secara automatik untuk menaja individu yang berkelayakan dalam kumpulan B1-B2 dengan produk-produk insurans DearTime yang serba komprehensif.

 

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif DearTime Bhd, Jon Ng berkata, pihaknya menyatakan komitmen untuk membolehkan setiap insan mengambil bahagian dalam misi dan visi DearTime, dengan melindungi setiap insan dengan insurans hayat. 

 

"Bagi merealisasikan matlamat ini, kita tidak boleh mengendahkan golongan yang mungkin sebenarnya paling memerlukan produk dan juga perkhidmatan seperti ini, tetapi tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk memilikinya.

 

"Melalui Insurans Tajaan DearTime, anda bukan sahaja dapat membeli perlindungan insurans untuk diri anda sendiri, tapi juga menaja insan lain yang mungkin tidak berkemampuan untuk memilikinya," katanya dalam kenyataan.

 

 

deartime

 

 

Inisiatif tersebut membolehkan pemegang polisi DearTime memperuntukkan sehingga 10% daripada premium insurans mereka kepada Dana Kebajikan DearTime, tanpa sebarang pengurangan pada amaun perlindungan mereka, semuanya dapat dibuat dengan mudah melalui aplikasi DearTime serta 100% digital. 

 

Dana Kebajikan DearTime, ditujukan kepada golongan yang memerlukan, dan secara automatik akan menaja individu dalam kumpulan B1-B2 mengikut turutan dengan insurans tajaan.

 

Insurans Tajaan DearTime adalah terbuka kepada individu dalam kumpulan pendapatan B1-B2, yang didefinisikan sebagai individu dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM3,170. 

 

Individu yang layak boleh memohon untuk ditaja sepenuhnya melalui aplikasi DearTime, yang mana mereka juga boleh mengesahkan identiti mereka, memilih perlindungan yang diinginkan, serta menamakan benefisiari.

 

Setelah permohonan diluluskan, DearTime akan memperuntukkan tajaan daripada Dana Kebajikan DearTime mengikut konsep yang awal didahulukan, bagi memastikan proses tersebut adil dan saksama bagi semua pemohon yang berkelayakan. - DagangNews.com