KUALA LUMPUR 7 Jun – Dayang Enterprise Holdings Bhd. memperoleh kontrak penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) PM8E Seligi daripada Enquest Petroleum Production Malaysia Ltd.
Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Dayang Enterprise Sdn. Bhd. (DESB), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Tempoh bagi kontrak berkenaan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2022 hingga 12 Julai 2023.
"Bagaimanapun, nilai kontrak adalah berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan Enquest sepanjang tempoh kontrak.
"Ia hendaklah termasuk mana-mana atau semua kerja dan perkhidmatan lain yang secara amnya berkaitan dengan skop kerja dalam kontrak ini pada jadual kadar tetap," katanya.
Mengenai faktor risiko, Dayang berkata, ia merangkumi risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan binaan, perubahan harga bahan, perubahan persekitaran politik, ekonomi dan kawal selia.
"Sepanjang tahun, DESB telah mempamerkan rekod prestasi dan kepakarannya dalam melaksanakan projek-projek ini.
"Namun, DESB hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak," jelasnya.
Menurut Dayang, kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada saham terbitan syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com








