Datasonic mahu kembangkan perniagaan dalam 3 segmen, kukuhkan kehadiran di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Datasonic mahu kembangkan perniagaan dalam 3 segmen, kukuhkan kehadiran di Indonesia

Kiri, Pengarah Eksekutif Datasonic Corporation, BC Chuah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datasonic, Datuk Hanifah Noordin.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Julai - Datasonic Corporation merancang mengembangkan perniagaan dalam tiga segmen dan mengukuhkan kehadirannya di Indonesia yang menjadi prospek masa depan kumpulan.

 

Pengarah Eksekutif Datasonic, B C Chuah, berkata tiga segmen perniagaan merangkumi penggunaan kad kitar semula mesra alam, menyokong bank digital menerusi komponen kios dan mesin juruwang maya (VTM) serta penggunaan tanpa akaun bank.

 

"Ia menjadi prospek perniagaan masa depan, terutama kad mesra alam apabila semua bank dijangka menukar kad plastik kepada kad kitar semula dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Jika berjaya mengembangkan perniagaan dalam tiga segmen ini, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan Datasonic Corporation meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus setiap tahun kepada RM70 juta berbanding sekitar RM60 juta pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Chuah berkata, Datasonic juga berhasrat mengukuhkan perniagaan di Indonesia dengan menggunakan kepakarannya, terutama membekalkan pelbagai jenis kad kepada bank di negara jiran itu.

 

Katanya, antara produk dibekalkan syarikat ialah kad kredit dan debit konvensional serta kad gambar khas yang sangat popular dan kad dilengkapi LED.

 

"Kami juga membekalkan kad teknologi baharu, iaitu kad dengan pengesahan nilai kad (CVV) dinamik untuk mengatasi isu penipuan dengan tiga nombor CVV akan dikemas kini dan muncul di belakang kad setiap empat jam.

 

"Selain itu, bank yang berminat boleh mendapatkan kad kredit atau debit biometrik yang boleh mengesan cap jari untuk mengesahkan transaksi," katanya.

 

Beliau menjelaskan, mesin pembaharuan kad kendiri dibekalkan syarikat kepada Maybank dan CIMB Bank turut mendapat maklum balas positif kerana berjaya mengatasi kesesakan pelanggan di kaunter juruwang bank berkenaan.

 

"Lebih penting, kami memastikan tahap keselamatan data pengguna yang tinggi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, di mana setiap data dipadamkan tempoh 24 jam setiap hari," katanya.


 

parafrasa
Dari kiri, Pengarah Datasonic Technologies, Danny Chew Chi Hong; BC Chuah; Datuk Hanafiah Noordin dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Datasonic Corporation, Abdul Razak Mohd Nordin.

 


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datasonic, Datuk Hanifah Noordin, berkata beberapa tahun kewangan kebelakangan ini amat mencabar berikutan COVID-19.

 

"Kami berjaya pulih dengan baik daripada kemelesetan berkaitan wabak dan mencatat prestasi teguh untuk tahun kewangan 2023.

 

"Melangkah ke hadapan, ketidaktentuan pasaran yang tinggi dijangka berterusan dan ekonomi global akan mengalami kelembapan berbanding tahun sebelumnya.

 

"Bagi kami, situasi ini boleh diurus setakat ini dan yakin dapat mengatasi halangan mendatang dengan memanfaatkan kepakaran teknikal kami, rekod prestasi yang terbukti serta amalan pengurusan baik," katanya. - DagangNews.com