Datasonic catat pendapatan RM172 juta pada 1HFY24, paras tertinggi baharu | DagangNews Skip to main content

Datasonic catat pendapatan RM172 juta pada 1HFY24, paras tertinggi baharu

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Datasonic Group Berhad telah merekodkan pendapatan tertinggi baharu bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1HFY24) berjumlah RM172 juta, meningkat 9.1% daripada RM157.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia penyelesaian ICT bersepadu berkaitan keselamatan di Malaysia itu berkata peningkatan tersebut didorong oleh bekalan pasport, kad pintar dan perkhidmatan tersuai yang lebih tinggi. 

 

Sehubungan itu, keuntungan bersih kumpulan pada tempoh dalam tinjauan meningkat kepada RM37.2 juta berbanding RM36.9 juta setahun lalu.

 

Datasonic mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.6 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi tempoh kewangan semasa kepada 1.2 sen.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata melangkah ke separuh kedua tahun kewangan 2024, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan strategik sementara melaksanakan pendekatan berhemat, sambil merebut peluang di hadapan untuk mengembangkan lagi perniagaan.

 

 

Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah
Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah

 

 

“Permintaan sihat untuk pasport adalah berterusan, yang kami jangka kekal kukuh terutamanya pada suku akhir 2023.

 

"Kami mengekalkan keutamaan dalam memastikan penghantaran berterusan, tepat pada masanya dan berkualiti tinggi kepada pelanggan bagi memenuhi permintaan awam yang tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa penghantaran kad pekerja asing (i-Kad) telah mendapat daya tarikan menggalakkan sejak penggunaannya bermula pada Ogos 2023.

 

“Kami teruja dalam hal ini kerana ia membuka peluang untuk memanfaatkan kekuatan dan kecekapan kami ke dalam penyelesaian dan perkhidmatan lain sebagai sebahagian daripada pelan kepelbagaian perniagaan. 

 

"Secara keseluruhannya, kami terus yakin dengan prospek Datasonic disokong oleh buku pesanan yang sihat dan pelan strategik kami,” tambahnya.

 

Bagi suku semasa dalam tinjauan, pendapatan berjumlah RM87.2 juta berbanding RM93.6 juta pada 2QFY23, disebabkan oleh penghantaran kad pintar, pasport dan perkhidmatan tersuai yang lebih rendah. 

 

Hasilnya, keuntungan bersih 2QFY24 mencapai RM18.1 juta berbanding RM24.9 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com