Cypark Resources lantik CEO Jakel Capital sebagai pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark Resources lantik CEO Jakel Capital sebagai pengarah

KUALA LUMPUR 15 Feb - Cypark Resources Bhd. melantik Muhammad Ashraf Muhammad Amir sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas berkuatkuasa 14 Februari 2023.

 

Muhammad Ashraf, 36, ialah ketua pegawai pelaburan kumpulan bagi kumpulan syarikat Jakel, dan ketua pegawai eksekutif (CEO) cabang pelaburannya, Jakel Capital Sdn. Bhd.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Cypark berkata, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan kanan di syarikat tersenarai awam.

 

"Yang terakhir ialah ketua, kewangan korporat kumpulan Symphony House Bhd. di mana beliau mengetuai pelbagai latihan korporat yang membawa kepada kejayaan pengambilalihan terbalik dan pembelian pengurusan pada 2015 dan seterusnya penggabungan perniagaan perkhidmatan korporatnya pada 2018," katanya.

 

Jakel Capital muncul sebagai pemegang saham terbesar Cypark bulan lalu selepas memperoleh 27.33% kepentingan melalui penempatan persendirian.

 

Kemunculan cabang pelaburan perdagangan tekstil dan pemaju hartanah Jakel Group sebagai pemegang saham Cypark telah meningkatkan nilai harga saham Cypark lebih dua kali ganda. Ini mendorong pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa oleh Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, Cypark pada Selasa turut melantik Mohd Adzahar Abdul Wahid sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif. 

 

Beliau merupakan bekas pengarah Symphony House, Kencana Petroleum Bhd, Sapura Kencana Petroleum Bhd, Edra Global Energy Bhd dan TH Plantations Bhd.

 

Setakat 2.56 petang ini, harga saham Cypark menokok 2 sen atau 1.92% kepada RM1.06 kepada 10.71 juta saham diniagakan. - DagangNews.com