Cuti Aidiladha: TNB kongsi panduan penggunaan elektrik selamat dan bijak tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuti Aidiladha: TNB kongsi panduan penggunaan elektrik selamat dan bijak tenaga

Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna untuk tidak lupa meneruskan amalan keselamatan elektrik dan jimat tenaga.

 

Antara amalan keselamatan elektrik dan penggunaan elektrik yang bijak di kediaman yang akan ditinggalkan semasa pulang ke kampung ialah:

 

  • Menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.

 

  • Memastikan semua soket elektrik dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable).

 

  • Menggunakan alat pengukur masa (timer) sekiranya ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan agar ia tidak menyala 24 jam.

 

  • Memeriksa peralatan elektrik yang ingin terus dipasang bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar.

 


Untuk kediaman yang akan menjadi tumpuan keluarga berkumpul pula, pengguna diunjurkan untuk:

 

  • Mengelakkan dari menggunakan soket elektrik secara berlebihan supaya tiada beban elektrik yang keterlaluan.

 

  • Memastikan semua soket elektrik berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable).

 

  • Membuka gulungan kabel penyambung ketika digunakan bagi mengelakkan ia menjadi terlalu panas sehingga mencetuskan kebakaran.

 

  • Memeriksa peralatan elektrik yang ingin digunakan dan mengelakkan beban berlebihan pada soket elektrik.

 

  • Menyusun atur ruang peti sejuk untuk aliran udara yang baik dan menjimatkan tenaga.

 

  • Mengumpulkan pakaian untuk digosok sekali gus.

 

  • Membasuh pakaian menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh untuk penjimatan tenaga.

 

Para pengguna dinasihatkan menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB Careline atau Twitter @Tenaga_Nasional untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. - DagangNews.com