CTOS raih kontrak RM14 juta naik taraf sistem kelulusan pinjaman peribadi Alliance Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS raih kontrak RM14 juta naik taraf sistem kelulusan pinjaman peribadi Alliance Bank

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin; Erick Hamburger, Kellee Kam dan Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - CTOS Data Systems Sdn Bhd dianugerahkan kontrak 5 tahun bernilai RM14 juta oleh Alliance Bank Malaysia Berhad untuk menaik taraf Sistem Kelulusan Pinjaman Peribadi (RLOS) yang digabungkan dengan projek Transformasi Kredit. 

 

Projek transformatif itu melibatkan inovasi digital dan automasi untuk meningkatkan proses sedia ada dan mengubah keputusan kredit melalui pelaksanaannya. 

 

Ia membolehkan Alliance Bank memberi perkhidmatan yang pantas, cekap dan diperibadikan yang relevan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berubah. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk merealisasikan visi perjalanan digital Alliance Bank. 

 

"Kami telah berkembang daripada sebuah agensi pelaporan kredit kepada syarikat yang mempunyai rangkaian penyelesaian keputusan dan pengurusan kredit digital menyeluruh yang inovatif.

 

"Analisis data kami yang luas dan penyelesaian canggih membolehkan kami memberikan nilai tambahan kepada pelanggan kami seperti Alliance Bank, dengan bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan tetapi juga meningkatkan serta mengembangkan keupayaan membuat keputusan," katanya.

 

Projek Transformasi Kredit membolehkan Alliance Bank meningkatkan prestasi kelulusan pinjaman serta menilai segmen 'tidak berbank' dan 'kurang bank'; pengguna yang sejarah kredit tradisionalnya sangat terhad sehingga mereka tidak mempunyai skor kredit dan akses kepada kredit. 

 

Mencapai pasaran yang belum diterokai ini akan memberi Alliance Bank kelebihan dalam pengembangan segmen perbankan penggunanya untuk menyasarkan segmen HENRY (Berpendapatan Tinggi Belum Kaya Lagi). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihaknya komited untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik serta menyokong perjalanan perkembangan pelanggan dengan mencipta penyelesaian yang dapat membantu mereka. 

 

Katanya, penandatanganan anugerah dengan CTOS menandakan kesinambungan hubungan yang lama antara bank dan CTOS untuk menyediakan penyelesaian lebih pantas, lebih baik dan diperibadikan untuk pelanggannya. 

 

"Untuk tujuan ini, kami sentiasa menekankan transformasi digital yang berterusan untuk memperkasakan bank ke arah visi kami untuk menjadi 'Rakan Perbankan Pilihan'. 

 

"Dengan RLOS baharu dan permulaan projek transformasi kredit melalui kolaborasi ini, kami menunjukkan komitmen untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com