CTOS Digital 'dahagakan' peluang untuk berkembang, HLIB nilai TP baharu pada RM1.95 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS Digital 'dahagakan' peluang untuk berkembang, HLIB nilai TP baharu pada RM1.95

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap CTOS Digital Bhd. dengan harga sasaran baharu pada RM1.95 (berbanding RM2.45 sebelum ini). 

 

Penilaian premium itu adalah wajar memandangkan prospeknya yang cerah dan profil pertumbuhan keuntungan yang lebih teguh disokong oleh pasaran ASEAN yang masih menawarkan banyak peluang untuk berkembang.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Chan Jit Hoong berkata, CTOS memiliki daya kepimpinan dan ekonomi yang kukuh dengan model perniagaan berskala tinggi. 

 

"Di samping itu, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang masa depan berdasarkan kepada imbangan tunai dan kecairan kumpulan. 

 

"Pada masa sama, kami juga melihat penurunan harga sahamnya baru-baru ini, sebagai peluang yang kepada pelabur untuk mengumpul saham CTOS Digital," katanya.

 

Dalam usaha menambah nilai syarikat, sejak lebih 3 bulan lalu, CTOS Digital telah meningkatkan kepentingan dalam agensi penarafan, RAM Holdings Bhd. sebanyak 3.5% menjadikan jumlah pegangan pada 8.1%. 

 

Ia kemudiannya diikuti dengan pengambilalihan terbesar kumpulan dengan pembelian 49% kepentingan dalam syarikat pakar fintech, Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) bernilai RM205.8 juta pada bulan lalu.

 

Bagi tempoh sama, kumpulan turut meningkatkan pegangan dalam syarikat biro maklumat terbesar di Thailand, Business Online Public Company Ltd (BOL) kepada 24.83% berbanding 22.65% sebelum itu.

 

Berikutan pemerolehan dalam JurisTech dan BOL, Jit Hoong mengunjurkan keuntungan bersih CTOS Digital akan meningkat antara 17 hingga 22% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24, yang meningkatkan pertumbuhan sebanyak 4 mata peratus.

 

Secara berasingan, beliau juga mendapati kedua-dua pengambilalihan berkenaan akan menelan kos sebanyak RM232 juta di mana pembahagian antara pembiayaan ekuiti/hutang ialah 75%/25%.

 

Sehubungan itu, katanya, CTOS Digital dijangka berada dalam kedudukan hutang bersih yang sedikit sekali lagi pada FY22 sebelum kembali kepada tunai bersih pada FY23. 

 

"Kumpulan juga mempunyai kedudukan imbangan tunai yang mencukupi untuk mempercepatkan strategi perniagaannya.

 

"Di sebalik muncul sebagai peneraju pasaran dan sudah menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, kami memuji CTOS Digital kerana tidak berpuas hati dengan kejayaannya.

 

"Ini kerana kumpulan mempunyai tumpuan yang kukuh terhadap pembangunan produk dan meninjau untuk berkembang dalam sektor automotif, hartanah dan insurans," jelasnya.

 

Setakat 11.08 pagi ini, harga saham CTOS Digital menokok 3 sen atau 1.96% kepada RM1.56 dengan 457,100 saham diniagakan. - DagangNews.com