KUALA LUMPUR 11 April - Anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan YTL Cement memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong peralihan industri pembinaan negara ke arah pembinaan mampan.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, pihaknya komited dalam usaha membina masa hadapan Malaysia yang mampan menerusi pembangunan industri yang bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar.
Melalui MoU ini katanya, mereka berazam untuk memacu perubahan yang bermakna melalui usaha kami dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan, serta menetapkan piawaian untuk amalan pembinaan mampan di Malaysia.
"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan penggiat-penggiat industri yang sehaluan seperti YTL Cement, yang berkongsi aspirasi masa hadapan sektor pembinaan yang kukuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh pula berkata, pihaknya telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia selama lebih 70 tahun.
"Kami mahu terus menyokong pembangunan dan keperluan pembinaan negara. Kerjasama ini peluang untuk kami menyumbang kepakaran dan pengalaman bagi menyokong CIDB dalam inisiatif-inisiatif mereka," katanya.
MoU tersebut merupakan titik permulaan kerjasama bermakna antara pihak kerajaan dan industri untuk mencapai kecemerlangan industri pembinaan dan membudayakan amalan pembinaan mampan, selaras dengan aspirasi neutral karbon negara menjelang tahun 2050.

YTL Cement akan menyokong inisiatif-inisiatif CIDB dalam membangunkan tenaga kerja, penyelidikan dan inovasi industri pembinaan, serta meningkatkan pemahaman tentang amalan pembinaan mampan dalam kalangan penggiat industri.
Selain itu, MoU antara CREAM dan YTL Cement tertumpu kepada tiga bidang utama, termasuk pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan serta menyokong sektor pembinaan untuk beralih ke arah pembinaan mampan.
CIDB dan YTL Cement juga akan membentuk jawatankuasa kerja bersama untuk memacu inisiatif-inisiatif di bawah tiga bidang utama ini. - DagangNews.com








