Cradle lancar siri MYStartup Meet & Pitch perkukuh ekosistem start-up negara | DagangNews Skip to main content

Cradle lancar siri MYStartup Meet & Pitch perkukuh ekosistem start-up negara

Rafiza Ghazali
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pemangkin syarikat permulaan (start-up) peringkat awal Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), meneruskan momentum program MYStartup dengan melancarkan satu lagi inisiatif, MYStartup Meet & Pitch dalam usahanya mengukuhkan lagi ekosistem start-up di Malaysia. 

 

Dijadual diadakan sekali pada setiap suku tahun 2022, MYStartup Meet & Pitch menyaksikan Cradle menganjurkan tema berbeza pada setiap sesi, menghubungkan start-up dari pelbagai latar belakang dengan bakal pelabur mereka. 

 

Di dalam sesi pertamanya, acara itu menyaksikan barisan start-up daripada segmen Teknologi Kesihatan menggunakan sepenuhnya masa yang diperuntukkan bagi melontarkan idea dan dasar perniagaan mereka. 

 

Tema lain yang telah dirancang sepanjang tahun ini termasuk, 'ESG/Perusahaan Sosial', 'Teknologi/Kejuruteraan Mendalam' dan 'Teknologi Baru Muncul'.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, kumpulan komited memainkan peranannya membawa daya tarikan positif kepada ekosistem start-up Malaysia dengan tujuan untuk melihat mereka berkembang, seterusnya menembusi peringkat serantau dan global.

 

“Di peringkat global, kita sedang menyaksikan komuniti start-up berkembang dengan pesat, lebih-lebih lagi semasa tempoh pemulihan pasca COVID-19. Tinjauan semasa yang optimistik dalam lingkungan pelaburan selaras dengan objektif MYStartup Meet & Pitch bagi menyokong ekosistem start-up dengan menghubungkan dunia inovasi dan pelaburan, di mana mereka akan terus berinovasi dan berkembang. 

 

"Pelabur memainkan peranan penting bukan sahaja dengan menyediakan modal kepada syarikat permulaan tetapi juga mengadakan dan memberikan tinjauan positif sebagai sebahagian daripada pertumbuhan start-up," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

cradle

 

 

Antara start-up yang mengambil bahagian termasuklah, Queuemed Healthtech Sdn Bhd (penyelesaian kesihatan dalam talian), Ubisana Innovations Sdn Bhd (ujian DNA), Padi Medical System (pengimejan perubatan), PlusVibes (M) Sdn Bhd (penyelesaian kesihatan mental) dan Physiomobile (perkhidmatan fisioterapi). 

 

Pelabur yang mengambil bahagian dalam segmen Teknologi Kesihatan termasuklah Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP), Penjana Kapital, Venture Tech, Malaysian Business Angel Network (MBAN), RHL Venture dan banyak lagi.

 

 

cradle

 

 

MYStartup Meet & Pitch merupakan salah satu daripada program-program yang dirancang di bawah Program MYStartup yang dilancarkan baru-baru ini pada Februari 2022. 

 

Dimulakan oleh pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dikuasakan Cradle, program tersebut akan menyaksikan start-up yang turut serta mendapat manfaat daripada peluang pelaburan dan pelbagai program pembangunan.

 

Sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER), Program MYStartup merupakan Strategi MYStartup yang telah diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022, dengan Cradle sebagai agensi 'focal point' bagi ekosistem start-up yang telah diberi mandat untuk memastikan strategi ini memberi manfaat kepada ekosistem secara keseluruhan.

 

 

cradle

 

 

Sejak penubuhannya, Cradle telah membantu lebih 1,000 start-up berasaskan teknologi dengan membantu mereka merintis laluan kepada pengkomersilan di dalam perjalanan pertumbuhan mereka, sekali gus membina negara melalui teknologi dan mempercepatkan penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai program MYStartup, layari www.mystartup.gov.my. - DagangNews.com