Covid Secure: Ruang pejabat khas cegah COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Covid Secure: Ruang pejabat khas cegah COVID-19

KL 33

KUALA LUMPUR 21 Julai - Ruang pejabat berkonsepkan Covid Secure direka dan dilancarkan oleh KL 33 Properties Sdn. Bhd. (KL 33 Properties) yang menerapkan aspek pematuhan kesihatan sekali gus mencegah wabak COVID-19.

Pengarahnya, Tan Kok Leong berkata, ruang pejabat itu dilancarkan di Menara KL33 yang terletak di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur dan merupakan yang pertama dalam industri.

"Kami gembira untuk melihat lebih ramai orang kembali ke pejabat selepas pembukaan semula pelbagai sektor perniagaan secara beransur-ansur. 

"Dengan beralih kepada konsep pejabat Covid Secure, kami dapat memernuhi keperluan operasi di tempat kerja yang nyata berubah dengan penyediaan persekitaran yang memberi keyakinan kepada pekerja untuk kembali ke pejabat dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Covid Secure disusun atur dan dirangka semula secara khusus untuk memenuhi peraturan penjarakan sosial enam kaki bagi mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penghuni dan penyewa.

Ruang pejabat itu juga disesuaikan semula mengikut keperluan persekitaran pasca COVID-19 dengan penampilan ruang kerja dalaman yang mematuhi cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di setiap sudut pejabat seperti stesen kerja, bilik mesyuarat dan juga pantri.

KL33 Properties  ialah pemilik Menara KL33 iaitu sebuah bangunan komersial tinggi yang terletak di kawasan tumpuan korporat Jalan Sultan Ismail.

Bangunan tersebut mempunyai ruang sewa bersih kira-kira 195,943 kaki persegi dengan lebih 8,000 kaki persegi diperuntukkan untuk penyewa ruang pejabat secara individu.

Jelas Leong, pihaknya juga turut menawarkan Program Sewaan Mudah bagi membantu syarikat mengembalikan tenaga kerja ke pejabat dengan selamat tanpa kos permulaan yang tinggi.

"Di bawah Program Sewaan Mudah, syarikat boleh melunaskan semua kos langsung yang terlibat dengan pengubahsuaian semula pejbaat secara ansuran sewa bulanan dengan tempoh sewa yang fleksibel bermula daripada tiga bulan.

"Banyak syarikat beroperasi dalam keadaan tertekan. Dan program Sewaan Mudah ini juga disasarkan kepada syarikat baharu supaya mereka terlindung daripada COVID-19 disamping dapat menjimatkan aliran tunai," jelasnya lagi. - DagangNews.com