KUALA LUMPUR 28 Jun - Country Heights Holdings Berhad (CHHB) yakin strategi proaktif terhadap inovasi dan kemampanan akan membawa syarikat ke arah kejayaan dan pertumbuhan jangka panjang.
Kumpulan itu komited terhadap strategi pembangunan yang kukuh, di mana ia akan membangunkan empat projeknya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kini bernilai RM920 juta dan tiga strategi lain dalam perancangan.
Pengasas dan Penasihat CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew berkata objektif masa depan syarikat tersebut akan melibatkan pembangunan empat hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) pada masa ini bernilai RM920 juta yang mematuhi rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penubuhan hab perubatan dan kesejahteraan antarabangsa, penempatan semula Mines Beach Resort dan pelaksanaan program keahlian berstruktur.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor optimis tentang masa depan CHHB dan melihatnya sebagai pemacu dalam industri hartanah bukan hanya di Malaysia, malah di tahap global.
“Keyakinan ini timbul daripada komitmen teguh CHHB terhadap keunggulan dan pendekatan inovatifnya. Usaha proaktif syarikat untuk mengambil arah strategik baru membolehkannya bergerak dalam landskap industri yang sentiasa berubah,” kata beliau dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Country Heights ke-39 di sini, hari ini.
Kumpulan itu berkata ia komited mendorong inovasi, menetapkan standard industri yang tidak tertandingi dan secara aktif menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor hartanah.
Selain itu, CHHB berkata ia berusaha membentuk masa depan mampan, serta berkembang bagi syarikat dan keseluruhan industri hartanah dengan meraih peluang yang menjanjikan dan berada di hadapan aliran industri.
"Dengan mengambil pendekatan pragmatik, CHHB bercita-cita untuk menyediakan pengalaman hidup yang luar biasa kepada pelanggan sambil memainkan peranan penting dalam mempercepat kemajuan ekonomi Malaysia.
“Dengan kedudukan yang stabil sebagai peserta utama dalam pasaran hartanah, CHHB memberi keutamaan kepada kepuasan pelanggan dan secara aktif menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," tambah Mohd Anwar menekankan komitmen teguh CHHB terhadap nilai-nilai teras dan visi jangka panjangnya.
Walaupun CHHB telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM107.60 juta, sebahagian besar kerugian ini adalah disebabkan oleh kerugian rosot nilai sebanyak RM75.2 juta yang dikaitkan dengan Borneo Highlands Resort dan aset yang berkaitan.
Di sebalik kerugian ini, prestasi syarikat dalam segmen lain menunjukkan keupayaannya untuk mengatasi halangan dan menyumbang secara positif, termasuk penjagaan kesihatan; resort dan hospitaliti; pameran dan konvensyen; dan hartanah.
Saham CHHB ditutup pada 32.5 sen hari ini, naik 2 sen atau 6.6% dengan pasaran modal sebanyak RM97.5 juta. - DagangNews.com








