KUALA LUMPUR 16 Ogos - Country Heights Holdings Berhad memberi jaminan kepada pemegang saham dan pemegang kepentingannya yang dihargai bahawa kumpulan sedang giat berusaha menyelesaikan pembayaran hutang berjumlah RM89 juta kepada MBSB Bank Berhad.
Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata ia komited mengambil langkah komprehensif, di samping berkomunikasi secara terbuka dan menyeluruh dengan MBSB Bank bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dan pemahaman lengkap tentang isu berkenaan.
Selepas itu, katanya, ia akan melaksanakan langkah strategik untuk memperbetulkan keadaan.
BACA JUGA: Country Heights gagal bayar RM181 juta kemudahan pembiayaan Islam MBSB Bank
Kumpulan itu berkata MBSB Bank telah menjadi rakan kongsi perbankan dan penyokong teguh usaha kumpulan sejak 2014, menyumbang kepada kebanyakan usahanya, mencerminkan perkongsian kerja mantap atas dasar saling mempercayai dan kerjasama.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MBSB Bank atas kerjasama erat dan sokongan padu mereka dalam menangani isu ini.
“Kami secara proaktif berusaha ke arah semakan dan pemahaman menyeluruh tentang bayaran yang dikenakan, dengan matlamat untuk mendapatkan kejelasan tentang pelbagai komponen yang membentuk jumlah tersebut,” kata Pengarah Urusan Country Heights, Datuk Mircle Yap.
Menurut Country Heights, penilaian MWBP dan MIEC melepasi ambang yang diperlukan untuk menangani jumlah tertunggak dengan berkesan dan kedudukan kewangan mereka yang teguh memastikan tiada sebab untuk dibimbangkan bagi menyelesaikan masalah kemungkiran tersebut.
“Pada nota lain, kumpulan juga ingin menjelaskan kepada orang ramai dan memperbetulkan maklumat salah yang dilaporkan oleh laman web media tertentu pada 14 Ogos 2023 dengan tajuk yang menyatakan "Country Heights mungkir pada pembayaran RM181 juta untuk kemudahan pembiayaan Islam", bahawa jumlah yang betul sebaliknya adalah lebih kurang RM89 juta,” tambahnya.
Katanya, pasukan pengurusan kumpulan memberi jaminan bahawa mereka komited sepenuhnya untuk menjaga kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak berkepentingan kepada kumpulan, serta sedang berusaha gigih untuk menangani dan menyelesaikan situasi ini dengan kecekapan yang terbaik.
“Sokongan berterusan oleh pemegang saham, rakan kongsi dan komuniti amat dihargai dan kumpulan sentiasa memberi tumpuan bagi mengharungi cabaran ini sambil menegakkan ketelusan, akauntabiliti, kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk kecemerlangan,” katanya.
Country Heights ditutup rendah pada 35 sen, susut 0.5 sen atau 1.4% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM105 juta. - DagangNews.com








