KUALA LUMPUR 10 Feb - Syarikat pemaju milik China, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd, menegaskan tiada kerja kurang bermutu dalam pembinaan dua bangunan pangsapuri mewah di Danga Bay, Johor Bahru, menurut laporan FMT hari ini.
Selepas disaman oleh badan pengurusan bersama (JMB) blok pangsapuri servis Royal Strand dan Lovell, Country Garden berkata, ia telah melantik peguam dan akan ‘bersungguh-sungguh’ mempertahankan dirinya.
Menurut JMB, sebanyak 27 surat telah dihantar kepada syarikat itu sejak 2018 hingga 2022 dengan senarai kecacatan pangsapuri tetapi ia tidak diperbetulkan.
Ia berkata, seorang jurutera profesional telah dilantik untuk mengesahkan kecacatan dan mutu kerja yang didakwa tidak bermutu.
Malah, sebanyak RM700,245 telah dibelanjakan untuk membaiki beberapa masalah yang memerlukan perhatian segera seperti tangki air bocor, pendawaian elektrik yang rosak dan sistem kumbahan tersumbat yang menyebabkan kesulitan kepada lebih 1,000 pemilik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Country Garden menegaskan bahawa proses pembinaan dan bahan yang digunakan dalam projek Danga Bay telah memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Proses pembinaan, bahan dan kaedah telah disemak dan dipantau oleh perunding bertauliah dan jabatan kerajaan berkaitan.
“Tiada penggunaan bahan berkualiti rendah atau ketidakpatuhan mana-mana peraturan, termasuk ‘kerja buruk’ yang didakwa.
“Reka bentuk berkaitan telah diluluskan dan diterima oleh jabatan kerajaan berkaitan dan perunding bertauliah.
"Bahaya tersembunyi seperti itu tidak pernah wujud, jika tidak, ia tidak akan mendapat kelulusan daripada jabatan kerajaan yang berkaitan," tambah kumpulan itu.
Country Garden Danga Bay adalah sebahagian daripada kumpulan Country Garden milik China yang sedang membangunkan projek Forest City di empat pulau tebus guna di Selat Johor.
Harga pangsapuri di bawah projek kondominium Royal Strand adalah antara RM345,000 hingga RM3 juta setiap satu, menurut laman web hartanah.
JMB sedang mendapatkan perintah mahkamah yang memaksa pemaju melantik jurutera bebas profesional untuk menilai kerosakan dan membaiki semua kecacatan dengan kos pemaju, membayar balik untuk pembaikan dan yuran perunding bebas. – DagangNews.com








