KUALA LUMPUR 14 Ogos - Coraza Integrated Technology Berhad menerusi anak syarikatnya, Coraza Systems Malaysia Sdn. Bhd. akan mengambil alih tanah perindustrian pegangan bebas seluas 8,538 meter persegi berharga RM17.69 juta daripada Huhtamaki Foodservice Malaysia Sdn. Bhd. di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Kumpulan itu berkata, harga pengambilalihan itu akan dibiayai oleh gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Katanya, hartanah itu terletak bertentangan dengan kilang sedia ada di Nibong Tebal dan akan segera meningkatkan keupayaan pembuatannya sementara pembinaan kilang baharu bersebelahan kilang semasa dijalankan.
Pembinaan itu dijadualkan bermula pada suku ketiga 2023 dan dianggarkan siap menjelang suku ketiga 2024.
"Dengan memperoleh hartanah yang terletak di lokasi strategik ini, Coraza akan menghapuskan keperluan memajak kilang tambahan untuk kemudahan baharu, mengurangkan potensi risiko pajakan secara berkesan.
"Selain itu, pengambilalihan ini memastikan kawalan yang lebih besar ke atas operasi, sokongan tenaga kerja yang lebih baik, pengaturan logistik yang lebih baik, membawa kepada penjimatan kos jangka panjang, dan memperkemas operasi keseluruhan syarikat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com








