Continental Tyres tawar 3 perkhidmatan menerusi Conti 360 untuk kenderaan fleet komersial | DagangNews Skip to main content

Continental Tyres tawar 3 perkhidmatan menerusi Conti 360 untuk kenderaan fleet komersial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac  - Pengeluar tayar terkemuka Jerman, Continental Tyres menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian digital Conti360 kepada pengendali kenderaan fleet komersial bagi membolehkan mereka menguruskan tayar kenderaan selain mengurangkan kos minyak dan jarak perjalanan.

 

Conti360 menawarkan tiga perkhidmatan dan penyelesaian iaitu Perkhidmatan Teras, Perkhidmatan Lanjutan dan Penyelesaian Digital, merangkumi latihan, perkhidmatan sokongan di lokasi, dan pemantauan tayar secara masa serentak bagi membantu pengurus kenderaan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Menerusi Perkhidmatan Teras Conti360, pasukan teknikal Continental akan menganalisis keadaan tayar untuk membekalkan maklumat terperinci tentang prestasi tayar, amalan terbaik yang dilakukan oleh industri tentang penyelenggaraan dan pengendalian tayar yang cekap, serta latihan khusus untuk pemandu. 

 

Perkhidmatan Lanjutan menyaksikan, pengendali kenderaan komersial melakukan permeriksasan komprehensif kesihatan tayar melalui ContiFleetCheck dengan pasukan teknikal akan menjalankan pemeriksaan rutin dengan peralatan digital dan menyampaikan data kepada sistem maklumat untuk memperolehi analisis keadaan tayar, seperti tekanan angin dan kedalaman bunga tayar bagi mengetahui jangka hayat tayar.

 

"Penyelesaian Digital Conti360 pula merupakan penyelesaian automasi menyeluruh yang melengkapkan alat pengesan pada tayar kenderaan bagi memantau penggunaan tayar di jalan raya sepanjang masa. 

 

"Pengendali kenderaan akan menerima makluman menerusi portal dalam talian serta paparan analisis tentang kebarangkalian tayar pancit, kehilangan tekanan angin, kedalaman bunga tayar dan sebagainya, bagi membantu mereka mengendalikan tayar, memanjangkan jangka hayat tayar dan meningkatkan keselamatan di jalan raya," kata Continental Tyres dalam satu kenyataan, hari ini.

 

conti
Continental Tyres menawarkan penyelesaian digital menerusi Conti360.

 

Pengurus Jualan Nasional Trak dan Tayar di Continental Malaysia, Winson Khoo Han Kee berkata, walaupun tayar hanya menyumbang 5% kepada kos kenderaan, ia mempengaruhi sekitar 50% kos operasi menerusi penggunaan minyak, pembaikan dan penyelenggaraan serta pengurusan. 

 

Katanya, Conti360 diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos pengendali menerusi tiga rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan, bergantung pada saiz kenderaan dan keadaan operasi.

 

"Pelanggan yang sudah menggunakan khdimat Conti360 memperoleh penjimatan kos minyak sehingga 3% dan peningkatan jarak perjalanan tayar sebanyak 20%, di samping menikmati peningkatan yang  ketara dalam keselamatan kenderaan dan pemandu," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova berkata, pihaknya berazam untuk memberikan perkhidmatan berasaskan teknologi yang bernilai tinggi berteraskan kepada keperluan pelanggan kenderaan komersial.

 

“Teknologi Conti360 akan membantu pelanggan kami memaksimumkan pelaburan pada tayar dan meraih manfaat daripada sokongan teknikal selepas jualan dan pemantauan prestasi jangka panjang," katanya. - DagangNews.com