Columbia Asia lancar hospital baharu ke-18 di Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

Columbia Asia lancar hospital baharu ke-18 di Bukit Jalil

Pembukaan Hospital Columbia Asia baharu itu meningkatkan ketercapaian terhadap fasiliti kesihatan berkualiti di Bukit Jalil, lokasi kepada lebih 200,000 penduduk dan dijangka terus bertambah. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Columbia Asia Hospital - Bukit Jalil (CAH-BKJ), hospital Columbia Asia yang ke-18 di Malaysia dan ke-27 dalam kumpulan hospital itu dilancarkan sekali gus meningkatkan ketercapaian terhadap fasiliti kesihatan berkualiti di Bukit Jalil, lokasi kepada lebih 200,000 penduduk dan dijangka terus bertambah. 

 

Columbia Asia memaklumkan, dengan pembukaan fasiliti perubatan ini di kawasan berpopulasi tinggi, syarikat hospital swasta itu meneruskan misinya sebagai penyedia kemudahan kesihatan yang membawa penjagaan terbaik ke lokasi yang berkeperluan.

 

Selain dari Bukit Jalil katanya, CAH-BKJ turut menawarkan kemudahan kesihatan kepada penduduk sekitar Sri Petaling, Sungai Besi, OUG, Taman Desa, Seri Kembangan dan Serdang. 

 

"Ia terhubung dengan rangkaian jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan awam; dan merupakan pusat tumpuan terhadap institusi-institusi pendidikan, hab sukan bertaraf dunia, destinasi beli-belah ikonik, pejabat dan kediaman.

 

"Hospital baru ini merupakan hospital tujuh tingkat menempatkan 96 katil wad dengan pelbagai kepakaran dan subkepakaran. Pakar perubatannya pula terdiri daripada perunding profesional berkemahiran tinggi dan berdedikasi dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengurus Besar Hospital Columbia Asia - Bukit Jalil, Dr Sharonpal Singh berkata, pihaknya menyasarkan untuk memupuk persekitaran penjagaan kesihatan bertumpu kepada pesakit yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan, perkhidmatan berkualiti tinggi serta inovasi berterusan bagi menambah baik mutu khidmat kesihatan. 

 

"Kami mahu menjadi hospital pertama yang dirujuk berkaitan penjagaan kesihatan di kawasan ini, daripada perkhidmatan perubatan asas dan diagnosis dan rawatan penyakit, sehingga rawatan menyelamatkan nyawa dan kesediaan kes-kes kecemasan," katanya.

 

 

columbiaasia

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, Dr Chan Boon Kheng pula berkata, bermula sebagai pusat komuniti dengan model hospital sederhana, kini ia ditransformasi kepada hospital peringkat tertiari dengan pelbagai cabang perubatan yang lebih kompleks menggunakan teknologi perubatan lebih sofistikated. 

 

Beliau juga mengumumkan projek akan datang termasuk Hospital Columbia Asia baru dengan 200 katil di Batu Kawan, Pulau Pinang tahun depan. 

 

 

columbiaasia

 

 

Selain itu, beliau turut berkongsi tentang memenuhi permintaan pasaran yang lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan yang menyumbang kepada pertumbuhan prasarana empat hospital Columbia Asia sedia ada iaitu Cheras, Klang, Iskandar Puteri dan Seremban.

 

Dr. Chan juga menyebut tentang Kempen Pra-Diabetes Columbia Asia yang bertujuan untuk meningkatkan usaha kerajaan dalam menguruskan jumlah kes diabetes yang semakin meningkat di negara ini. 

 

 

columbiaasia

 

 

"Kami menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan yang menekankan tabiat penjagaan kesihatan secara proaktif serta pencegahan penyakit, ke arah membina negara yang lebih sihat," katanya. - DagangNews.com