KUALA LUMPUR 7 April - Coca-Cola Malaysia mempergiatkan aktiviti menyantuni golongan kurang bernasib baik dan memberi keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan pada Ramadan kali ini.
Coca-Cola Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia seiring dengan falsafah jenamanya ‘Real Magic’ untuk menyatukan komuniti serta membawa kesan positif kepada masyarakat umum.
Tahun ini katanya, pihaknya memperkasakan inisiatif Ramadan bersama-sama rakan kerjasama baharu iaitu K Fry Urban Korean dan Pizza Hut Malaysia, serta mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Mydin Malaysia dan Marrybrown.
Pengarah Perhubungan Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Bottlers bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei, Khairul Anwar Ab Gahani berkata, pihaknya berbesar hati menyokong usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Ramadan ini melalui sumbangan ‘Bakul Rahmah’ kepada golongan B40.
Selain itu katanya, ia termasuk inisiatif ‘Bubur Lambuk Rahmah’ yang akan diagihkan kepada pelbagai kumpulan masyarakat di pelbagai lokasi di seluruh negara, bersama-sama MYDIN Malaysia.
Ujarnya, Coca-Cola telah menyusun beberapa siri majlis iftar dan bantuan makanan Ramadan di bawah program Fast2Feed yang dianjurkan di seluruh negara, termasuk lokasi-lokasi utama seperti pasaraya Mydin di Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 4,000 golongan kurang bernasib baik dan anak-anak yatim.
"Program Fast2Food merupakan acara tradisi yang dijalankan bersama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia. Inisiatif ini merupakan kerjasama lebih 10 tahun bersama Muslim Aid untuk membawa kegembiraan kepada golongan dan komuniti yang kurang berkemampuan," katanya.

Menurut Khairul, pihaknya menjalankan program bersama K Fry Urban Korean untuk program Ramadan ‘K Fry Kare’, yang mana akan berkunjung ke lapan rumah anak yatim terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bagi majlis iftar bersama anak yatim dan menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan.
Katanya, Coca-Cola bersama Pizza Hut Malaysia pula akan bersama-sama mengagihkan pek iftar kepada lebih 200 orang di Malaysia Timur.
"Daripada warga kerja kami, pelanggan kami dan masyarakat setempat, kami sentiasa berusaha menggerakkan inisiatif-inisiatif dan program-program yang dapat meningkatkan taraf kehidupan komuniti sekitar.

"Sebagai sebuah syarikat yang sudah lama berada di Malaysia, lebih 85 tahun, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu golongan yang memerlukan semampu yang boleh dan memberi kesan positif kepada kehidupan meraka yang kurang bernasib baik," katanya.
Coca-Cola juga akan menganjurkan majlis iftar di Masjid Enstek bagi membolehkan kakitangan Coca-Cola meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk di kawasan sekitar kilang pembotolannya di Bandar Enstek. - DagangNews.com








