KUALA LUMPUR 3 April - Coca-Cola Malaysia memperbaharui kerjasamanya dengan rangkaian pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) dengan termeterainya perjanjian konsesi lanjutan, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan perniagaan strategik yang terjalin sejak tiga dekad.
Memorandum persefahaman (MoU) itu telah ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan untuk Singapura, Malaysia, dan Brunei, Louis Balat Joseph serta Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee, baru-baru ini.
Louis berkata, pihaknya amat berbangga dapat meneruskan kerjasama strategik dengan GSC dan berkongsi ‘keajaiban’ bersama pengunjung pawagam melalui rangkaian minuman yang menyegarkan, selaras dengan falsafah ‘Real Magic’ pihaknya.
"Kerjasama ini juga melambangkan kepercayaan dan komitmen kukuh di antara Coca-Cola dan GSC," katanya dalam kenyataan hari ini.
Koh pula berkata, dengan adanya kerjasama erat yang menjangkau lebih tiga dekad, kerjasama yang diperbaharui dengan Coca-Cola Malaysia menandakan satu pencapaian yang penting dalam sebahagian daripada strategi pertumbuhan pihaknya.
"Sejajar dengan matlamat kami untuk mencipta pengalaman sinematik menarik, kami sentiasa berusaha berinovasi dalam penawaran kami untuk memberikan akses dan nilai lebih besar kepada para penonton filem, kini dengan rangkaian produk, promosi dan tawaran eksklusif yang lebih luas yang dibawakan kepada kita semua oleh Coca-Cola Malaysia yang mana boleh dinikmati di seluruh pawagam kami," katanya.
Coca-Cola dan GSC mengalu-alukan para pelanggan menyertai kempen terbaru sempena meraikan kerjasama strategik kedua-dua pihak yang mana hadiah istimewa edisi terhad berupa sebuah skuter Vespa Coca-Cola yang unik dan elegan bakal menanti pemenang.

Untuk menyertai peraduan ini, hanya perlu membelanjakan lebih daripada RM50 dalam satu transaksi untuk tiket wayang dan kombo Coca-Cola di pawagam GSC dalam tempoh promosi di antara April hingga Mei 2023.
Peminat motosikal dan skuter Vespa juga boleh melihat secara dekat motosikal kegemaran mereka yang bakal dipamerkan di lokasi-lokasi GSC terpilih. Untuk maklumat lanjut, sila ikuti laman media sosial GSC.
Sebagai tanda penghargaan kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua jenama ikonik tersebut, dan bagi meraikan musim perayaan Aidilfitri, GSC bakal menganjurkan sebuah pameran wayang kulit yang menarik di Aurum Theatre, The Gardens Mall dari 31 Mac hingga 8 Mei 2023.
Para peminat filem boleh menikmati bukan sahaja Coke yang sejuk, malah jenama popular lain dalam portfolio Coca-Cola seperti Sprite, Fanta, A&W, Ayataka, rangkaian Heaven & Earth dan minuman buah-buahan yang menyegarkan seperti Minute Maid Pulpy Orange.
Mereka juga boleh memilih produk yang disediakan mengikut pesanan, seperti set kombo di kaunter atau set e-kombo pra-beli melalui laman web GSC atau aplikasi mudah alih GSC. - DagangNews.com








