Citaglobal, Genetec bentuk usaha sama keluarkan sistem penyimpanan tenaga bateri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal, Genetec bentuk usaha sama keluarkan sistem penyimpanan tenaga bateri

KUALA LUMPUR 7 April - Citaglobal Bhd dan Genetec Technology Bhd telah membentuk syarikat usaha sama (JV) untuk mengeluarkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan meneroka peluang perniagaan di Malaysia dan rantau ASEAN.

 

Syarikat JV 50:50, Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd (CG BESS) akan membangunkan, mereka bentuk dan membina kemudahan pembuatan bersepadu untuk BESS.

 

Mereka juga akan membangunkan penyelesaian bersepadu, memudahkan perkongsian teknologi dan pengetahuan berkaitan untuk pembangunan sistem serta memiliki harta intelek dan tanda dagangan berkaitan.

 

Menurut makluman Citaglobal di Bursa Malaysia semalam, pihaknya akan bertanggungjawab meninjau peluang perniagaan dan permintaan untuk BESS di ASEAN dan Malaysia serta mendapatkan kelulusan dan sokongan yang diperlukan untuk menjalankan sebarang usaha niaga.

 

Genetec pula akan menyediakan kepakaran teknikal mengenai BESS dan melaksanakan pemindahan pengetahuan kepada syarikat JV.

 

“JV ini membolehkan kedua-dua pihak menggunakan dan menggabungkan sumber unik, kepakaran, pengetahuan dan pengalaman kedua-dua Citaglobal dan Genetec dalam projek BESS yang akan mewujudkan platform bagi memanfaatkan segmen penyimpanan tenaga yang dilihat sebagai defensif dengan potensi baik untuk pertumbuhan,” kata syarikat itu.

 

Kedua-dua pihak berhasrat untuk meningkatkan modal saham CG BESS kepada RM500,000 terdiri daripada 500,000 saham menjelang suku kedua 2023, di mana Citaglobal dan Genetec masing-masing akan melanggan 249,500 saham baharu pada harga RM499,000.

 

Saham Citaglobal pagi ini dibuka 4 sen atau 2.8% lebih tinggi pada RM1.48 sesaham yang memberikan permodalan pasaran sebanyak RM561.76 juta.

 

Manakala, saham Genetec menokok 5 sen atau 1.8% kepada RM2.86 sesaham, memberikannya permodalan pasaran RM2.15 bilion. -DagangNews.com