CIMB Islamic, YDSM dan UniSZA jalin kerjasama perkasa graduan dalam bidang pertanian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Islamic, YDSM dan UniSZA jalin kerjasama perkasa graduan dalam bidang pertanian

Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga, kiri) berkenan berangkat menyaksikan upacara menandatangani perjanjian berkenaan di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini. Turut kelihatan, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (dua, kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - CIMB Islamic menandatangani perjanjian dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan program 'Melon Manis Terengganu (MMT) Graduate Agropreneur Programme'.

 

Program itu bertujuan bagi menyediakan latihan dan pembangunan komprehensif untuk graduan universiti memanfaatkan kerjaya serta peluang berasaskan pertanian.

 

Di bawah perjanjian ini, CIMB Islamic akan menyumbangkan pembiayaan benih sebanyak RM350,000 kepada YDSM sebagai penyelaras program, manakala UniSZA akan memudahkan program dan memantaunya hingga membuahkan hasil. 

 

Melon Manis Terengganu ialah tanaman buah-buahan yang tumbuh dengan pantas yang mana mengambil masa 60 hari untuk matang dengan potensi untuk dituai kira-kira tiga hingga lima musim setahun. 

 

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 20 graduan dengan dua kemudahan fertigasi yang boleh mengusahakan lebih 1,500 pokok tembikai setiap rumah hijau setiap musim.

 

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyaksikan upacara menandatangani perjanjian berkenaan di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

 

Penandatangan mewakili ketiga-tiga pihak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam, menandakan permulaan rasmi program tersebut.

 

Ahmad Shahriman berkata, pihaknya berbesar hati menyokong program itu dengan kerjasama YDSM dan UniSZA. 

 

Katanya, platform ini akan membolehkan graduan menceburi industri pertanian yang berdaya maju secara komersial dan berteknologi tinggi, sambil mewujudkan usahawan tani yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan. 

 

"Ini menyokong komitmen CIMB Islamic ke arah pengantaraan berasaskan nilai sebagai institusi perbankan Islam yang bertanggungjawab melalui inisiatif yang menjana impak positif jangka panjang kepada masyarakat dan ekonomi. 

 

"Melalui sumbangan tersebut, kami berharap program ini dapat menyokong transformasi sektor pertanian kerajaan dan pertumbuhan inklusif kerana kami secara kolektif melakukan bahagian dalam menyediakan graduan universiti dengan pengetahuan teknikal dan peluang dalam industri," katanya.

 

UniSZA bersama Koperasi Permodalan Sahabat Terengganu Bhd akan menyediakan graduan dengan latihan hujung ke hujung dalam pengeluaran tembikai untuk memastikan graduan yang mengikuti bidang ini dilengkapi dengan pengetahuan, peralatan dan kemahiran yang diperlukan apabila memasuki pasaran domestik dan eksport. - DagangNews.com