KUALA LUMPUR 21 Julai - Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) bekerjasama dengan Affin Bank untuk menyediakan rumusan pembiayaan rumah fleksibel menerusi Affin Home Step Fast/i bagi membantu pembeli rumah.
Di bawah inisiatif tersebut, pembeli rumah diberi kelonggaran pembayaran balik bulanan dalam tempoh lima tahun pertama pemilikan rumah mereka.
Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan Chin Hin, Tan Zijin berkata Affin Home Step Fast/i amat berfaedah untuk pasangan muda yang memulakan keluarga dan mencari rumah sihat, serta profesional muda yang sedang membina kerjaya mereka.
“Fleksibiliti pembayaran balik membolehkan mereka menguruskan aliran tunai sambil mengukuhkan kapasiti kewangan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang tanpa menjejas harapan mereka untuk memiliki rumah sendiri,” ujar beliau, seperti dilaporkan oleh The Edge.
Pembeli rumah akan menikmati margin pinjaman sehingga 90% dan tambahan 5% diperuntukkan untuk insurans pinjaman rumah, takaful, yuran guaman dan dokumentasi, yuran setem dan penilaian, antara lain.
Dua projek pertama Chin Hin yang akan mengambil bahagian dalam rumusan pembiayaan ini adalah Ayanna Resort Residences dan Quaver Residences.
Terletak di Bukit Jalil, Ayanna Residences mempunyai 824 unit dengan binaan antara 1,155 hingga 2,453 kaki persegi, dilengkapi dengan tiga hingga empat bilik dan sehingga empat ruang tempat letak kereta.
Sementara itu, Quaver Residences, sebuah pangsapuri servis terletak di Sungai Besi, menawarkan 684 unit dengan binaan antara 1,023 hingga 1,701 kaki persegi. - DagangNews.com








