KUALA LUMPUR 20 Feb - MSM Malaysia Holdings Bhd. dijangka mencatat kerugian bersih sebanyak RM50 hingga RM60 juta untuk suku keempat 2022 (4Q22) akibat kadar penggunaan rendah di kilang penapisan MSM Johor, merekodkan kerugian untuk suku keenam berturut-turut, kata CGS-CIMB dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan MSM akan kembali menjana keuntungan pada suku kedua hingga suku ketiga 2023 selepas menggantikan dandang di MSM Johor.
“Kami tetap bimbang dengan kemajuan yang tertangguh untuk menjana keuntungan di MSM Johor di samping peningkatan kos input dan penapisan,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Berikutan hal tersebut, firma itu mengekalkan saranan ‘kurang’ dengan harga sasaran (TP) pada 58 sen.
MSM dilihat tidak mampu menghasilkan keuntungan akibat MSM Johor yang mengalami kerosakan dandang, menanggung kos penapisan tinggi, peningkatan kos gula mentah dan nilai ringgit lemah.
“Memandangkan terdapat kenaikan terhadap kos penapisan dan gula mentah, kami menjangkakan kerugian bersih teras MSM untuk tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 69%,” tambahnya.
Firma itu menaikkan kerugian bersih tahun kewangan 2023 (FY23) daripada RM124 juta kepada RM209 juta dan menjangkakan MSM tidak mampu membalikkan peruntukan nilai boleh realisasi bersih (NRV) inventori gulanya dan kontrak yang membebankan pada 4Q22 disebabkan kos gula mentah dan gas asli yang tinggi.
CGS-CIMB percaya terdapat sedikit kemungkinan harga siling gula bertapis runcit akan dinaikkan memandangkan kerajaan hendak menangani kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup.
“Kami menganggarkan setiap kenaikan harga gula bertapis borong domestik sebanyak 10 sen sekilogram akan meningkatkan unjuran keuntungan bersih kami sebanyak RM38 juta pada FY23 dan RM39 juta pada tahun kewangan 2024,” katanya.
MSM juga sedang dalam perbincangan tuntutan insurans gangguan perniagaan berikutan kehilangan inventori akibat banjir pada Disember 2021 yang berjumlah kira-kira RM9 juta serta pelupusan aset sebanyak RM8.5 juta.
Firma tersebut juga percaya penempatan ekuiti kepada rakan kerjasama untuk penapisan Johor membantu meningkatkan prestasi dan mendorong penggunaannya di samping meningkatkan keuntungan kumpulan. -DagangNews.com








