KUALA LUMPUR 24 Feb - Keuntungan bersih AMMB Holdings Berhad (AmBank) dijangka menyusut pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berikutan margin faedah bersih (NIM) yang berpontensi menguncup suku ke suku (QOQ), menurut CGS-CIMB.
“Kami mengunjurkan keuntungan bersih 4QFY23 menyusut 8.3% tahun ke tahun (YoY) memandangkan kami tidak menjangkakan kenaikan nilai balik bersih sebanyak RM77.3 juta dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) 4QFY22 untuk berulang,” tambah firma penyelidikan itu.
Walaupun hasil suku ketiga AmBank baru-baru ini meliputi 78.5% daripada ramalan tahun kewangan firma tersebut dan anggaran konsensus Bloomberg, firma itu menjangkakan 4QFY23 yang lemah disebabkan penyusutan NIM dan nilai balik yang tinggi sebanyak RM70.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang dilihat tidak mampan.
Mengulas lanjut, firma itu mengunjurkan keuntungan bersih 4QFY23 sebanyak RM359.1 juta, penurunan 20.7% suku ke suku (QoQ) dengan jangkaan penguncupan NIM akibat kenaikan semula kadar deposit tetap berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun lepas dan kadar pinjaman kekal stabil QoQ memandangkan OPR dijangka tidak naik pada suku pertama tahun ini.
Selain itu, pertumbuhan pinjaman adalah lemah kepada 5.9% YoY pada akhir 22 Disember berbanding 7.6% YoY pada akhir September tahun lalu namun masih sihat berbanding pertumbuhan industri sebanyak 5.7%.
"Kelembapan tersebut terutamanya disebabkan oleh pinjaman pembuatan (dari +3.4% YoY pada akhir September 2022 kepada -0.6% YoY pada akhir Disember 2022) dan pinjaman perdagangan am (dari +15.8% YoY pada akhir September 2022 kepada +8.8% YoY pada akhir Disember 2022)," tambahnya.
Keuntungan bersih untuk sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9MFY23) melonjak 17.7% YoY, didorong kenaikan 7.4% YoY dalam pendapatan faedah bersih dan LLP yang menjunam 39.5% YoY.
Keuntungan bersih 3QFY23 sebanyak 12.2% YoY didorong oleh lantunan kukuh dalam pendapatan bukan faedah sebanyak 25.4% YoY disebabkan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi, penurunan LLP kepada 19.2% YoY serta nilai balik sebanyak RM70.2 juta berbanding peruntukan RM40.1 juta pada 3QFY23.
Oleh itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) RM4.39. -DagangNews.com








