CGS-CIMB : Tanpa GST, kerajaan mungkin laksana cukai 'mengejutkan' dalam  Bajet 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Tanpa GST, kerajaan mungkin laksana cukai 'mengejutkan' dalam  Bajet 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - Kerajaan masih boleh mempertimbangkan langkah untuk meningkatkan hasilnya menerusi pelbagai sumber alternatif meskipun tanpa pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2023. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain.

 

Sebaliknya beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mengambil langkah lain dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan hutang kerajaan yang kini sudah mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, antara langkah yang boleh diambil termasuklah pengecualian cukai era COVID-19 yang telah berakhir, cukai ke atas kemampanan, pematuhan cukai yang lebih tinggi dan menangani ketirisan dalam proses perolehan. 

 

"Walau apa pun, usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi hasil mungkin bermakna masih terdapat cukai 'mengejutkan' boleh dilakukan.

 

"Kita mungkin melihat kembalinya Cukai Makmur tetapi dalam beberapa bentuk atau yang lain kerana pentadbiran baharu tidak terikat dengan janji kerajaan terdahulu.

 

"Usaha lain pula melibatkan cukai berkaitan kekayaan, seperti cukai warisan, cukai ke atas dividen, atau cukai keuntungan modal," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau mengunjurkan hasil fiskal berkembang 0.9% tahun ke tahun pada 2023, suatu pembalikan berbanding unjuran Kementerian Kewangan (MOF) pada Oktober 2022 sebanyak -4.4% dan berbanding anggaran 2022 sebanyak 19.2%.

 

Sementara itu, perbelanjaan operasi dijangka berkembang 1.7% tahun ke tahun, lebih tinggi daripada jangkaan pada Oktober 2022 iaitu -4.3%.

 

"Peningkatan ini disebabkan oleh pelarasan semula jadi kepada emolumen dan pencen di tengah-tengah kenaikan inflasi," tambahnya.

 

Nazmi turut menganggarkan kemungkinan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM5 bilion jika subsidi bahan api bersasar dilaksanakan sepenuhnya.

 

"Bagaimanapun, kuantum pelarasan subsidi mungkin terhad dan boleh diimbangi dengan peningkatan perbelanjaan untuk langkah sokongan lain," jelasnya.

 

Menurutnya, Bajet 2023 dijangka kekal mengembang disokong asas hasil yang diperluas dan sepatutnya menyokong sokongan berterusan untuk orang ramai.

 

Beliau berkata, inflasi yang tinggi dan kuasa perbelanjaan pengguna yang semakin terhakis mungkin memaksa kerajaan untuk melaksanakan langkah sokongan yang lebih besar.

 

Malah, katanya, perubahan dasar termasuk meningkatkan jumlah dan perlindungan bantuan tunai, memperkenalkan bantuan pendapatan asas, atau menangani monopoli dan pakatan harga.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya kerajaan akan menyasarkan defisit fiskal yang lebih mengecil sekitar 5% daripada KDNK tahun ini berbanding 5.5% yang disasarkan dalam Laporan Fiskal 2023 (diterbitkan pada Oktober 2022)," katanya. - DagangNews.com