CGS-CIMB : Stok minyak sawit diunjur meningkat kepada 1.56 juta tan metrik setakat akhir Mac  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Stok minyak sawit diunjur meningkat kepada 1.56 juta tan metrik setakat akhir Mac 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 April - Stok minyak sawit Malaysia dijangka berkembang 2.8% bulan ke bulan kepada 1.56 juta tan metrik setakat akhir Mac 2022 berikutan pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun ke tahun pula, paras inventori ini diunjur meningkat 7.9%, menurut CGS-CIMB Research dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, kenaikan paras stok itu adalah berbeza berbanding trend pergerakan minyak sawit Malaysia sebelum ini pada Mac (purata: -1% bulan ke bulan sepanjang 10 tahun lalu).

 

"Bagaimanapun, unjuran kami pada Mac 2022 sebanyak 1.56 juta tan metrik, adalah 20% lebih rendah berbanding paras 10 tahun Mac dengan purata 1.95 juta tan metrik, kemungkinan disebabkan kekangan bekalan," katanya.

 

Data rasmi akan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 11 April ini.

 

Ia turut menjangkakan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat 17.9% bulan ke bulan tetapi susut 5.8% tahun ke tahun kepada 1.34 juta tan metrik pada Mac 2022. 

 

Eksport pula diunjur berkembang 7% bulan ke bulan kepada 1.17 juta tan metrik di sebalik penurunan 0.7% tahun ke tahun.

 

CGS-CIMB berkata, obligasi pasaran domestik (DMO) Indonesia yang dimansuhkan telah mendorong eksport yang lebih tinggi. 

 

Namun, perubahan dasar itu, katanya, menyebabkan harga MSM susut sebanyak 21% daripada paras kemuncak RM8,076.5 satu tan metrik pada 2 Mac lalu kepada RM6,357 satu tan metrik pada 4 April 2022.

 

"Selain itu, gangguan permintaan daripada harga minyak sawit yang tinggi mungkin menyebabkan anjakan semula kepada harga MSM daripada paras kemuncaknya," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan menjangkakan harga MSM pada April akan ditentukan oleh perang Rusia-Ukraine dan pengambilan pekerja asing. 

 

Syarikat perladangan Malaysia pula dijangka merekodkan hasil suku pertama yang lebih kukuh memandangkan harga MSM meningkat 55% tahun ke tahun dan 19% suku ke suku kepada RM6,039.5 satu tan metrik. - DagangNews.com