KUALA LUMPUR 29 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Unisem (M) Bhd. dengan harga sasaran dikurangkan kepada RM3.70 daripada RM4 sebelum ini.
Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 antara 6 hingga 9% setelah mengambil kira kos buruh dan utiliti yang lebih tinggi pada suku akan datang.
Katanya, semakan semula tarif bagi pengguna perindustrian menyebabkan kos elektrik yang lebih tinggi manakala dasar gaji minimum yang mula dilaksanakan 1 Mei ini akan meningkatkan kos buruh.
"Namun begitu, tekanan kos yang lebih tinggi dapat dikurangkan sebahagiannya ekoran semakan semula harga jualan purata (ASP) baru-baru ini di kilang Unisem di Ipoh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Unisem merekodkan untung bersih sebanyak RM50.69 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 11.63% daripada RM45.41 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu dipacu jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih tinggi pada suku berkenaan.
Pendapatan bagi suku itu itu turut meningkat 13.5% kepada RM424.45 juta berbanding RM373.94 juta bagi tempoh sama 2021.
Menurut CGS-CIMB, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan jualan antara 8 hingga 10% pada suku kedua, didorong penghantaran yang lebih tinggi berikutan tempoh operasi yang lebih lama (berbanding suku pertama 2022) dan ASP tinggi berikutan semakan harga baru-baru ini untuk pelanggannya di Ipoh.
Unisem juga katanya, memaklumkan operasinya di Chengdu tidak terjejas perintah sekatan di China dan ia layak untuk pembekal baharu dan menarik pesanan sebelum sekatan tersebut.
"Sementara itu, kilang Unisem di Ipoh masih terjejas dengan masalah kekurangan pekerja memandangkan ia beroperasi dengan kapasiti 70% pada suku pertama.
"Tetapi, kumpulan sedang berusaha untuk mendapatkan 238 pekerja asing, yang boleh membantu meningkatkan jumlah pekerja di Ipoh sebanyak 15% pada awal separuh kedua 2022.
"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar penggunaan di kilang Unisem di Ipoh mulai suku ketiga dan seterusnya," katanya.
Setakat 9.19 pagi ini, harga saham Unisem menokok 3 sen atau 1.05% kepada RM2.90 dengan 91,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








