CGS-CIMB Research jangka sektor semikonduktor pulih pada 2024 namun kekal mencabar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka sektor semikonduktor pulih pada 2024 namun kekal mencabar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos - CGS-CIMB Research kekal ‘underweight’ terhadap sektor semikonduktor dengan jangkaan industri pulih pada 2024 namun tetap mencabar.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun industri mungkin pulih pada 2024, risiko pendapatan menurun tetap wujud berikutan paras saham yang tinggi, kelemahan sentimen pengguna dan keterlihatan yang lemah.

 

“Kami berpendapat bahawa potensi keuntungan kepada potensi kerugian (risk-reward) semasa sektor ini tidak menarik kerana terdapat ruang terhad untuk kejutan pendapatan menaik sementara penilaian memerlukan masa,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata, memandangkan peningkatan saham teknologi baru-baru ini, pasaran mungkin berpandangan bahawa industri itu berada di ambang perubahan, dengan jangkaan pemulihan kukuh ke separuh kedua tahun ini.

 

CGS-CIMB Research, sebaliknya, berpendapat pemulihan industri yang bermakna mungkin berlaku hanya pada 2024 kerana lebihan inventori semasa mungkin mengambil sedikit masa untuk berkurang.

 

“Ini disumbangkan oleh pengembangan kapasiti yang dilakukan oleh pemain industri sejak dua tahun lalu, digabungkan dengan sentimen pengguna yang perlahan dan diperkuatkan lagi oleh perebutan semikonduktor Amerika Syarikat-China.

 

“Pada pandangan kami, permintaan makro secara amnya kekal lemah walaupun memasuki tempoh yang lebih kukuh secara bermusim pada separuh kedua tahun ini,” tambahnya.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan sektor agregat berkembang 29% pada tahun depan dengan mengambil kira keadaan permintaan-bekalan pulih susulan kelemahan dalam 2023.

 

Bagaimanapun, firma tersebut mendapati bahawa risiko pengurangan selanjutnya kepada jangkaan pendapatan masih diendahkan, walaupun prestasi pemain sektor pada suku pertama tahun ini sebahagian besarnya kurang daripada jangkaan konsensus Bloomberg dan tidak mungkin mencapainya memandangkan persekitaran makro yang lemah.

 

Pilihan utama CGS-CIMB Research bagi sektor ini adalah Genetec Technology Bhd (beli, harga sasaran [TP]: RM3.63), berdasarkan pendedahannya kepada kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan ruang simpanan tenaga, serta penilaian lebih munasabah.

 

Uchi Technologies Berhad (pegang, TP: 3.79) turut menjadi pilihannya kerana model perniagaannya yang menjana aliran tunai kukuh, menyokong pembayaran lumayan sebanyak kira-kira 90%, yang diterjemahkan kepada hasil dividen lebih daripada 6%, tertinggi dalam liputan sektor teknologi CGS-CIMB Research.  - DagangNews.com