CGS-CIMB : Pelabur kekal berhati-hati menjelang PRU15, dijangka November ini | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pelabur kekal berhati-hati menjelang PRU15, dijangka November ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan pelabur akan kekal berhati-hati terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dijangka November ini.

 

Pasaran tempatan turut dipengaruhi keputusan kenaikan kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang akan bermesyuarat pada 1 hingga 2 November ini. 

 

Menurut firma itu, indeks utama FBM KLCI pada minggu lalu susut 1.7% berikutan ketidaktentuan PRU15 dan sentimen global yang lemah memandangkan data inflasi AS pada September lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Ini menyaksikan jumlah dagangan purata harian susut 5.4% minggu ke minggu kepada 2.3 bilion manakala nilai dagangan purata harian meningkat 11.5% kepada RM1.8 bilion.

 

Katanya, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti tempatan buat minggu keenam berturut-turut dengan aliran keluar asing meningkat 42% mingu ke minggu kepada RM476 juta.

 

"Pada minggu lalu, pelabur asing kebanyakannya menjual ekuiti dalam sektor perkhidmatan kewangan dan produk pengguna tetapi paling banyak membeli ekuiti dalam sektor pembinaan. 

 

"Tiga saham utama paling banyak dijual ialah Public Bank Bhd., Petronas Chemicals Group Bhd. dan IHH Healthcare Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pelabur institusi tempatan pula paling banyak membeli saham dalam sektor perkhidmatan kewangan dan produk perindustrian terutamanya Petronas Chemicals, Public Bank dan IHH.

 

Minggu lalu, pembelian ekuiti tempatan pelabur institusi susut 7% minggu ke minggu kepada RM406 juta.

 

Sebaliknya, pelabur runcit membeli sebanyak RM117 juta ekuiti terutamanya dalam sektor produk pengguna dan perkhidmatan kewangan itu Maybank, Genting Malaysia Bhd. dan Public Bank.

 

Setakat akhir September 2022, CGS-CIMB berkata, pegangan asing dalam ekuiti tempatan meningkat 0.5 mata peratus bulan ke bulan kepada 20.6% berbanding 20.4% pada akhir September 2021.

 

"Ini disebabkan prestasi saham yang lebih baik yang dipegang oleh warga asing berbanding pasaran am.

 

"Malah, setakat 14 Oktober 2022, pelabur asing telah membeli bersih RM5.8 bilion ekuiti Malaysia (berbanding jualan bersih RM3.2 bilion pada 2021)," jelasnya. - DagangNews.com