CGS-CIMB naikkan penarafan Bank Islam kepada 'tambah', jangka EPS kembali pulih tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB naikkan penarafan Bank Islam kepada 'tambah', jangka EPS kembali pulih tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan pemulihan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) Bank Islam Malaysia Bhd. sebanyak 12.6% pada tahun ini.

 

Di dalam notanya hari ini, firma itu berkata, pertumbuhan itu akan dipacu oleh normalisasi kadar cukai kepada 24% tahun ini berbanding 34.2% pada tahun lepas ekoran pemansuhan Cukai Makmur.

 

Menurutnya, keuntungan bersih kumpulan perbankan itu melebihi ramalan tahun penuhnya dan anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 7.8% disebabkan peruntukan kerugian pembiayaan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Tambahnya, dividen sesaham pada 13.8 sen (bayaran sebanyak 60%) berbanding ramalan firma sebanyak 11 sen (bayaran sebanyak 50%), mencerminkan hasil dividen yang menarik sebanyak 6.1% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

“Walaupun pendapatan kewangan bersih melonjak 10.5% dan penurunan peruntukan kerugian pembiayaan sebanyak 26.6%, keuntungan bersih FY22 Bank Islam susut 8% berikutan kadar cukai yang tinggi termasuk Cukai Makmur sebanyak berbanding 24.1% pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

 

Sementara itu, keuntungan bersih syarikat itu dilihat kukuh pada suku keempat FY22 (4QFY22).

 

“Ini merekodkan peningkatan pantas sebanyak 57.9% didorong oleh kenaikan 12.2% tahun ke tahun (YoY) dalam pendapatan kewangan bersih dan peruntukan kerugian pembiayaan yang menjunam 65.8% YoY, diimbangi kadar cukai yang tinggi termasuk Cukai Makmur sebanyak 32.9% pada 4QFY22.

 

"Namun, keuntungan bersih 4QFY22 susut 12% suku ke suku (QoQ) berikutan peningkatan overhed (9.9% QoQ) dan peruntukan kerugian pembiayaan (52.6% QoQ),” tambahnya.

 

Selain itu, firma itu berkata, hasil dividen Bank Islam sebanyak 5.7% untuk FY23 adalah menarik dan pertumbuhan pinjaman yang tinggi, antara yang paling kukuh dalam sektor ini.

 

Oleh itu, CGS-CIMB menaikkan penarafan saham Bank Islam kepada ‘tambah’, sebaliknya harga sasaran diturunkan kepada RM2.60 daripada RM2.74 sesaham sebelum ini. -DagangNews.com