KUALA LUMPUR 23 Sept - CGS-CIMB Research menjangkakan pendapatan sesaham (EPS) teras MKH Bhd. akan meningkat 37% tahun ke tahun bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) dipacu lonjakan harga minyak sawit mentah dan juga aktiviti pembangunan hartanah.
Bagaimanapun, berikutan prospek sektor perladangan dan hartanah yang mencabar, firma itu memulakan liputan dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran RM1.34 sesaham.
Secara dasarnya, MKH adalah syarikat pemaju hartanah yang telah mempelbagaikan perniagaannya dalam sektor perladangan, bahan binaan dan pelaburan hartanah.
Katanya, segmen perladangan kini menjadi penyumbang yang lebih ketara sejak dua tahun lalu kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan bagi FY20 dan FY21 sebanyak 23% dan 63% berbanding purata FY17 hingga FY19 sebanyak 7%.
"Ini didorong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi mengatasi pendapatan segmen hartanah yang lebih lemah.
"Namun, kami menjangkakan segmen hartanah akan menyumbang antara 26% hingga 56% kepada PBT kumpulan bagi FY22 hingga FY24 di sebalik kelemahan harga minyak sawit mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Buat masa ini, MKH memiliki 566 ekar bank tanah dengan baki nilai pembangunan kasar (GDV) RM9.5 bilion dan kira-kira 16,400 ladang sawit di wilayah Kalimantan timur.
Unit perladangan adalah penyumbang pendapatan terbesar merangkumi 63% daripada PBT pada FY21, diikuti segmen pembangunan hartanah kira-kira 23% daripada PBT.
Menurut CGS-CIMB, MKH merancang secara aktif mencari tanah ladang di Kalimantan Timur berdasarkan kemerosotan pelaburnya baru-baru ini dan, jika ia membuahkan hasil, boleh meletakkannya dalam kitaran komoditi di hadapan.
"Namun, kami menjangkakan EPS teras kumpulan bagi FY23 akan susut 20% tahun ke tahun berikutan harga minyak sawit mentah yang merosot sehingga 18%, tetapi akan diimbangi dengan peningkatan PBT bagi segmen hartanah.
"Bagi FY24, EPS dijangka bertambah baik kepada 18% tahun ke tahun terutamanya didorong prestasi segmen perladangan yang lebih kukuh (hasil buah tandan segar meningkat 4% dan kos operasi yang lebih rendah)," jelasnya.
Setakat 12.16 tengah hari, harga saham MKH susut 1 sen atau 0.82% kepada RM1.21 dengan 73,800 saham diniagakan. - DagangNews.com








