KUALA LUMPUR 7 Julai - Affin Bank Berhad diunjur menyaksikan pertumbuhan keuntungan bersih teras yang kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) berikutan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) dijangka menurun.
CGS-CIMB Research berkata walaupun keuntungan bersih teras suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berpotensi lebih lemah, pertumbuhan keuntungan bersih teras diunjur sebanyak 193.9% pada tahun kewangan 2023 (FY23).
Jelasnya, Affin Bank telah mencatat kerugian pada FY22 akibat peningkatan LLP disebabkan kumpulan itu secara proaktif meningkatkan tindanan pengurusannya untuk meningkatkan perlindungan kerugian pinjamannya melebihi paras sasarannya iaitu 100%.
“Kami menjangkakan LLP menurun sebanyak 77.9% tahun ke tahun (YoY) pada FY23, yang kami percaya akan memacu pertumbuhan keuntungan bersih teras pada FY23. Kami meramalkan peningkatan pendapatan faedah bersih sebanyak 9.6% dan pendapatan bukan faedah pada 3.1%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata pemangkin penarafan semula berpotensi termasuk pertumbuhan keuntungan bersih teras yang kukuh, di mana kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun diramalkan sebanyak 52.8%, didorong oleh LLP yang lebih rendah dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan, serta pengembangan pulangan ke atas ekuiti (ROE) daripada 1.8% pada FY22 kepada 6% pada FY25 di bawah program transformasi A25 kumpulan.
Di bawah program transformasi A25 dari 2023 hingga 2025, Affin Bank menyasarkan untuk mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.5 bilion pada FY25, 64% melebihi unjuran CGS-CIMB sebanyak RM914.4 juta.
Firma tersebut berpendapat bahawa untuk mencapai sasaran ini adalah mencabar kerana perbankan adalah industri yang matang (dengan pertumbuhan tahunan sekitar pertengahan satu digit dalam pinjaman dan pendapatan yuran) dan persaingan daripada bank yang lebih besar kekal sengit.
“Jika Affin Bank mencapai sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.5 bilion, kami menganggarkan bahawa penilaian kami akan menjadi RM3.76, 59% lebih tinggi daripada harga sasaran semasa kami sebanyak RM2.36. Ini diterjemahkan ke dalam potensi peningkatan 102% daripada harga saham semasanya RM1.86,” ujarnya.
Sementara itu, Affin Bank dijangka mencatat keuntungan bersih teras lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), dianggarkan sekitar RM130 juta berbanding RM149 juta dalam 1QFY23 kerana CGS-CIMB tidak menjangkakan hapus kira bersih dalam LLP pada 1QFY23 akan berulang.
Pada asas YoY, keuntungan bersih teras 2QFY23F berkemungkinan sekitar 11.5% lebih rendah disebabkan oleh penurunan YoY dalam pendapatan faedah bersih dan peningkatan (sehingga 10%) untuk overhed pada 2QFY23.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-25 dan ulangi saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) RM2.36 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Affin Bank susut 1 sen atau 0.5% kepada RM1.85, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM4.2 bilion. - DagangNews.com








