CGS-CIMB : MAHB mungkin perlu tambah pinjaman biayai pembayaran hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : MAHB mungkin perlu tambah pinjaman biayai pembayaran hutang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mungkin perlu membuat lebih banyak pembiayaan bagi melunaskan hutangnya tahun ini, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Raymond Yap berkata, operasi MAHB di Malaysia mempunyai baki tunai sejumlah RM1 bilion setakat 31 Mac 2022, ditambah dengan sukuk RM800 juta yang dikumpul pada April 2022 menjadikannya kepada RM1.8 bilion.

 

Namun, katanya, selepas ditolak perbelanjaan modal (capex) yang diperuntukkan sebanyak RM400 juta, baki tunai itu kemungkinan tidak cukup untuk membayar RM1.5 bilion sukuk yang akan berakhir 16 Disember 2022 jika (operasi di Malaysia) gagal menjana aliran tunai yang positif bagi tahun ini. 

 

"Kami mempunyai keyakinan MAHB akan berjaya meningkatkan pembiayaan semula hutang yang diperlukan, bahkan ia terus mengulangi bahawa terbitan hak ekuiti tidak dibincangkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, menurutnya, operasi di Istanbul (Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen-ISG) mempunyai baki tunai sebanyak 266 juta euro setakat 31 Mac 2022 dan lebih 200 juta euro dalam aliran tunai operasi tahunan mulai tahun ini dan seterusnya.

 

Beliau percaya, kumpulan dapat membayar balik 375 juta euro dalam pinjaman bank menjelang 2025, serta 383 juta euro dalam yuran konsesi sehingga 2025.

 

"Namun, ketidakpastian terletak pada syarat pembayaran yuran konsesi sebanyak 230 juta euro yang ditangguhkan dari 2021 hingga 2022, iaitu sama ada kerajaan Turki akan mendesak pembayaran penuh atau memberikan sebahagiannya pengecualian, dan garis masa pembayaran itu.

 

"Kami menjangkakan ISG mempunyai dana mencukupi untuk membayar semula sepenuhnya sebanyak 230 juta euro pada 2025, tetapi itu akan meninggalkannya dengan baki tunai yang agak rendah dan terdedah kepada kejutan ekonomi yang tidak dijangka," jelasnya.

 

 

mahb

 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'pegang' terhadap MAHB dengan harga sasaran lebih rendah pada RM6.76 daripada RM6.93 sebelum ini selepas ia mengurangkan ramalan trafik untuk 2022, sebahagiannya diimbangi oleh trafik antarabangsa ISG yang lebih tinggi.

 

Menurut Yap, anggaran bagi trafik domestik di Malaysia dikurangkan kepada 75% daripada 85% bagi tahun ini manakala antarabangsa pula dikurangkan kepada 30% berbanding sebelum ini, 40% dengan mengambil kira pemulihan trafik penumpang yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

"Ini disebabkan kesesakan krew dan operasi syarikat penerbangan, lembaran imbangan syarikat penerbangan yang lemah, kos bahan api tinggi, kawalan sempadan yang berterusan di Asia Timur Laut, dan keengganan orang ramai untuk melancong ke luar negara semasa wabak.

 

"Tetapi, kami menaikkan unjuran trafik antarabangsa di ISG bagi tahun ini kepada 105% berbanding 100% sebelum ini susulan prestasinya yang kukuh setakat ini," tambahnya.

 

Beliau berkata, penumpang antarabangsa di Malaysia setakat ini diheret turun oleh peningkatan penumpang domestik, memperlahankan pemulihan hasil kerana susut nilai dikira berdasarkan jumlah penumpang.

 

Katanya, walaupun penumpang antarabangsa diramalkan meningkat sebanyak 14.63 juta tahun ke tahun pada 2022, tetapi trafik domestik mungkin meningkat lebih 29.65 juta orang, membawa kepada pencairan dalam purata hasil setiap orang.

 

"Walau apapun, perbelanjaan susut nilai akan meningkat secara berkadar dengan peningkatan dalam jumlah trafik.

 

"Kedua-dua faktor ini akan mengekang pemulihan pendapatan MAHB pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kerana kami meramalkan susut nilai meningkat sebagai peratusan hasil," katanya. 

 

Setakat 11.46 pagi ini, harga saham MHB menokok 15 sen atau 2.42% kepada RM6.36 dengan 441,600 saham diniagakan. - DagangNews.com