KUALA LUMPUR 11 Mei – Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dianggarkan berkembang 5.7% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama 2023 (1Q23) disokong oleh sektor perkhidmatan yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh, kata CGS-CIMB Research.
Firma penyelidikan itu berkata data yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa perdagangan pengedaran, yang menyumbang 45.2% daripada indeks perkhidmatan, telah meningkat sebanyak 10.1% YoY pada 1Q23.
Berdasarkan data yang merangkumi lebih daripada 80% KDNK Malaysia, firma itu menganggarkan ekonomi berkembang sebanyak 5.7% YoY pada 1Q23, lebih lemah berbanding 7% pada 4Q22 tetapi masih agak kukuh.
“Pertumbuhan kukuh pada 1Q23 akan memberi ruang kepada bank pusat (Bank Negara Malaysia, BNM) untuk mengetatkan lagi dasar monetari dengan satu lagi kenaikan kadar 25 mata asas pada separuh kedua 2023, pada pandangan kami,” ulasnya dalam nota hari ini.
Dari perspektif firma itu, kemungkinan prestasi KDNK 1Q23 yang kukuh dan jangkaan pemulihan pasaran buruh selanjutnya, mungkin menjadi pencetus di sebalik kenaikan kadar lebih awal daripada jangkaan oleh BNM yang menyambung semula kitaran pengetatan monetari minggu lepas.
“Menurut BNM, aktiviti penggunaan dan pelaburan kekal berdaya tahan, manakala peningkatan dalam ketibaan pelancong akan meningkatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan,” tambahnya.
Memandangkan kemungkinan kekuatan ekonomi pada 1Q23 dan hakikat bahawa pendirian dasar monetari BNM kekal 'sedikit akomodatif', firma tersebut mengekalkan andaian kenaikan OPR kepada 3.25% menjelang akhir 2023.
Mengulas mengenai data penggunaan domestik, firma itu berkata indeks perkhidmatan yang mengukur ukuran prestasi perkhidmatan swasta, ia telah berkembang sebanyak 8.8% YoY pada 1Q23, namun berdasarkan asas suku ke suku (QoQ), ia menguncup lagi pada 3% pada 1Q23, diseret oleh penguncupan dalam hampir semua subsektor disebabkan kesan bermusim.
Sementara itu, indeks pembuatan iaitu subset Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) telah meningkat sebanyak 4.1% YoY pada Mac, lebih perlahan daripada 4.8% YoY pada Februari.
“Prestasi sektor pertanian berkemungkinan merosot pada 1Q23, pada pandangan kami, dalam keadaan pertumbuhan lebih perlahan dalam pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada suku tahun 3.2% YoY (4Q22: 6.3% YoY). Pengeluaran getah terus menguncup pada 1Q23 pada 17% YoY tetapi lebih kecil daripada penurunan 21.6% pada 4Q22,” katanya.
Firma itu berkata indeks perlombongan, juga subset IPP, menyederhana kepada 2.1% YoY pada 1Q23 (6.1% yoy pada 4Q22), berdasarkan peningkatan dalam pengeluaran minyak mentah (4.2% yoy) dan pengeluaran gas asli (0.6% YoY).
Manakala kerja pembinaan yang siap telah meningkat 9.4% YoY pada 1Q23, berbanding 15.7% pada 4Q22, didorong oleh pengembangan dalam segmen bukan kediaman (9.6% YoY) dan kejuruteraan awam (17.2% YoY). -DagangNews.com








