KUALA LUMPUR 22 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan saham DRB-Hicom Bhd. kepada 'pegang' daripada 'tambah' sebelum ini selepas mengambil kira prospek kumpulan yang masih mencabar di sebalik merekodkan prestasi lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
Namun, firma itu dalam nota kajiannya hari ini menaikkan harga sasarannya kepada RM1.76 daripada RM1.75 sesaham sebelum ini, dengan menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 2 hingga 3%.
DRB-Hicom kembali pulih pada FY22 dengan mencatatkan keuntungan bersih RM187.71 juta berbanding kerugian bersih RM296.42 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya walaupun mencatatkan kerugian bersih RM100.06 juta pada suku keempat.
Pendapatan untuk tahun kewangan itu juga meningkat 25.3% kepada RM15.51 bilion daripada RM12.38 bilion sebelumnya didorong terutamanya menerusi tiga segmen yang mencatat pertumbuhan positif iaitu automotif, aeroangkasa dan pertahanan serta sektor perbankan.
Baca : DRB-Hicom alami kerugian bersih RM100.06 juta pada suku keempat akibat rosot nilai aset
Bagaimanapun, CGS-CIMB menjangkakan DRB-Hicom akan merekodkan pertumbuhan untung bersih yang lebih rendah bagi FY23 dengan berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), persaingan dalam perkhidmatan kurier dan kekurangan kontrak baharu dalam segmen pertahanan.
Menurutnya, Proton diunjur mengekalkan pertumbuhan jualan yang positif (meningkat 6% tahun ke tahun) pada FY23 didorong terutamanya pengenalan model baharu, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan SUV di bawah jenama Smart dan potensi pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.
"Tetapi permintaan bagi segmen pengedaran dan komponen automotif dijangka lebih perlahan memandangkan jumlah keseluruhan industri (TIV) diunjur lebih rendah tahun ini setelah berakhirnya pengecualian SST dan juga disebabkan kenaikan kadar faedah.
"Sementara itu, kami melihat risiko pemulihan semakin meningkat untuk Pos Malaysia Bhd. disebabkan persaingan sengit daripada pemain e-dagang yang memanfaatkan keupayaan penghantaran sumber dan pemain antarabangsa memasuki pasaran domestik untuk menguasai bahagian pasaran dalam segmen kurier," jelasnya.
Firma itu berkata, kerugian yang semakin melebar di Pos Malaysia, jumlah jualan Proton yang rendah dan masalah rantaian bekalan yang lambat pulih akibat pandemik COVID-19 merupakan faktor negatif yang diambil kira semasa menyemak turun penarafan saham DRB-Hicom kepada 'pegang'.
"Kami dapati harga sahamnya sudah menokok sebanyak 30% sejak tiga bulan lalu, berikutan prospek pemulihan Proton yang positif dan pergerakan kadar tukaran menggalakkan apabila ringgit mengukuh," tambahnya.
Setakat 9.55 pagi, harga saham DRB-Hicom susut 15 sen atau 8.88% kepada RM1.54 sesaham dengan 3.77 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








