KUALA LUMPUR 16 Jan - Keputusan kerajaan untuk meneruskan mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 adalah positif dan mampu meredakan kebimbangan terhadap penghutang Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang lebih tinggi akibat kenaikan harga bahan api, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Bagi tempoh itu, kerajaan mengekalkan rebat ICPT pada 2 sen/kWh untuk pengguna domestik manakala surcaj ICPT sebanyak 3.7 sen/kWh bagi pengguna bukan domestik di bawah tarif B, D, H, H1 dan H2.
Pengguna bukan domestik yang tidak berada di bawah tarif yang dinyatakan di atas akan dikenakan surcaj ICPT sebanyak 20 sen/kWj dan ini membentuk kira-kira 10% daripada pelanggan elektrik TNB atau 46% daripada jumlah jualan elektrik.
Berdasarkan TNB, sektor utama yang terjejas dengan 20 sen surcaj itu ialah runcit, hospital, hotel, kilang keluli, minyak dan gas (O&G), elektronik, pengeluaran kaca dan perlombongan.
CGS-CIMB berkata, surcaj ICPT yang lebih tinggi untuk pengguna bukan domestik tertentu tidak mungkin meningkatkan elaun hutang ragu (ADD) TNB kerana ia hanya memberi kesan kepada segelintir pelanggannya dan syarikat besar/pengilang biasanya merupakan penerima yang baik.
Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023, ia membabitkan ICPT berjumlah RM16.2 bilion daripada RM7 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.
"Kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM10.8 bilion bagi kos ICPT. Semua pengguna elektrik perlu membayar sebanyak 27 sen/kWh jika tanpa subsidi.
"Kami mendapati ICPT bagi tempoh pelaksanaan seterusnya mungkin lebih rendah berbanding RM16.2 bilion memandangkan harga bahan api yang semakin stabil," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma itu, dalam taklimat dengan syarikat utiliti itu baru-baru ini, kelulusan sebanyak RM6 bilion bagi menyokong modal kerja TNB masih berada di peringkat akhir.
"TNB berkata ia akan terus mematuhi dasar dividennya dengan nisbah pembayaran 30 hingga 60%, berdasarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).
"Kami juga mendapati TNB menyasarkan untuk mengagihkan dividen yang tertinggi daripada julat dasar dividennya sekitar 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24," katanya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap TNB dengan harga sasaran pada RM13.60 sesaham.
Setakat 10.42 pagi, harga saham TNB susut 7 sen atau 0.74% kepada RM9.41 dengan 167,300 saham diniagakan. - DagangNews.com








