KUALA LUMPUR 13 Julai - Prospek Velesto Energy Berhad dalam tahun kewangan 2024 (FY24) dijangka lebih kukuh daripada unjuran semasa firma, jika Velesto memperoleh kadar sewa harian (DCR) kukuh baru-baru ini yang dicapai oleh rakan setaranya di rantau ini, kata CGS-CIMB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata prospek jangka pendek untuk suku kedua dan suku ketiga tahun kewangan 2023 (2Q/3QFY23) bercampur-baur berikutan kesan DCR lebih tinggi akan dicairkan oleh kejatuhan mendadak berturut-turut dalam kadar penggunaan.
“Walaupun purata DCR Velesto sepatutnya meningkat pada 2QFY23 dan 3QFY23 disebabkan oleh kontrak bernilai lebih tinggi, keputusan suku tahunannya mungkin tidak mengagumkan kerana penggunaan menurun secara berurutan sehingga 3QFY23,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) pada 25 sen dengan jangkaan pemulihan Velesto kukuh berbentuk V dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) bersama peningkatan kadar yang lebih tinggi untuk FY24.
Menurut CGS-CIMB, Velesto mungkin menyaksikan penggunaan hampir penuh pada 97% pada 4QFY23 dan mendapat manfaat daripada DCR baharu AS$100k sehari, merangkumi purata penggunaan FY23 kepada 81%, sejajar dengan ramalan firma itu.
Tambahnya, momentum positif tersebut sepatutnya melimpah ke 1QFY24, dengan unjuran penggunaan ramalan sebanyak 94%, manakala DCR baharu pada 1QFY24 juga boleh dirundingkan lebih tinggi daripada AS$100k sehari kerana kontrak baharu daripada Petronas akan berkuat kuasa mulai Februari 2024.
“Ramalan kami menggabungkan pekerjaan baharu untuk Velesto hanya pada AS$120,000 sehari untuk FY24-25, AS$110,000 sehari untuk FY26-28 dan AS$80,000 sehari selepas itu.
“Pemangkin utama penarafan semula adalah jika Velesto memperoleh DCR AS$130,000 sehari untuk FY25-28, yang akan menaikkan TP kami kepada 30 sen. Risiko kemerosotan utama adalah jika inflasi perbelanjaan operasi (opex) berterusan tidak berhenti,” katanya.
Pada waktu penulisan, saham Velesto tidak berubah pada 23.5 sen dengan modal pasarannya bernilai RM1.93 bilion.- DagangNews.com








