KUALA LUMPUR 6 Mac - Valuevest Ventures optimis prospek Computer Forms (Malaysia) Bhd (CFM) akan menyumbang secara positif kepada pendapatan jangka panjangnya.
CFM melalui anak syarikat miliknya, Energy Absolute Malaysia (EA Malaysia) telah mencadangkan penggantian kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tua kepada kenderaan EV dan juga memperkenalkan BEV untuk semua Jabatan Kementerian di Malaysia bagi mengurangkan pelepasan karbon di bandar.
“Kami percaya kerjasama yang berjaya antara kerajaan dan EA Malaysia akan merekodkan hasil yang positif dan akan mewujudkan asas hubungan yang membantu menyelesaikan masalah pada masa hadapan,” ujar firma tersebut.
Selain itu, CFM bercadang bekerjasama dengan Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memperkenalkan bateri kenderaan elektrik (BEV) untuk semua bangunan dan bas ulang-alik kumpulan tersebut.
Perlindungan penyelenggaraan penuh kenderaan serta insurans tahunan kenderaan juga akan disediakan oleh EA Malaysia, katanya.
“Kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada operasi perniagaan dan prestasi kewangan MAHB dengan mengurangkan kos operasi.
“Kami percaya ia akan membolehkan CFM mempunyai aliran pendapatan baharu untuk meningkatkan prestasi kewangannya serta mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan pembuatan sedia ada,” tambahnya.
Di samping itu, syarikat itu juga bekerjasama dengan Energy Absolute Thailand PCL (EA PCL) untuk menjual dan mengeluarkan EV di Malaysia, didorong oleh dasar Malaysia dalam mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan meningkatkan penggunaan EV sehingga 37% dalam tempoh 2022-2040, kata firma penyelidikan itu.
Melalui usaha sama tersebut, perjanjian pelaburan sebanyak RM5 bilion dimeterai untuk membina kilang pembuatan EV di Malaysia dan mengendali projek tenaga boleh diperbaharui (RE) menggunakan kecekapan kedua-dua syarikat.
Selain itu, EA PCL bersetuju untuk membuat pemindahan inovasi, pengalaman dalam RE dan kredit karbon kepada kerajaan Malaysia dalam pelaburan modal kali pertama ini bagi meningkatkan piagam kemampanan negara bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Kami percaya pertumbuhan global yang menggalakkan dalam sektor operasi utama CFM bermanfaat kepada pendapatan kumpulan, terutamanya dalam jangka panjang,” katanya.
Oleh itu, Valuevest Ventures memberi saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM3.60. -DagangNews.com








