Centexs berminat sediakan latihan sektor petrokimia | DagangNews Skip to main content

Centexs berminat sediakan latihan sektor petrokimia

Beberapa loji petrokimia sudah diwujudkan di seluruh negeri itu yang memerlukan tenaga kerja mahir.

KUCHING 15 Jun - Pusat Kecemerlangan Teknikel Sarawak (Centexs) berminat untuk menyediakan latihan berkaitan bidang petrokimia bagi memenuhi permintaan tenaga kerja di sektor tersebut.

 

Ketua pegawai eksekutifnya Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, ia difikirkan perlu setelah beberapa loji petrokimia diwujudkan di seluruh negeri itu.

 

“Loji petrokimia seperti methanol diwujudkan di negeri ini tetapi tiada latihan berkaitan industri tersebut.

 

“Kita melihat kekosongan ini dan kita ingin mengisinya.

 

"Kemungkinan besar Centexs akan meneroka bidang ini bagi menyediakan rangkaian latihan berkaitan minyak dan gas,” katanya pada sidang media hari ini, DayakDaily melaporkan.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Centexs akan menyediakan banyak lagi latihan di dalam pelbagai bidang di masa hadapan .

 

Setakat ini, katanya, Centexs telah menyediakan 64 program di kampusnya di seluruh Sarawak di mana 21 program adalah di bawah akademi digital.


 

Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman
Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman (tengah) pada sidang media di Centexs pada 14 Jun 2022.

 


Bagi akademi digital, Centexs akan mengadakan kerjasama dengan banyak lagi rakan kongsi seperti IBM, Microsoft, Siemens serta pemain lain dalam pelbagai bidang.

 

Syeed Mohd Hussein menjangkakan jumlah program latihan akan meningkat sehingga 40 dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 21 sekarang.

 

“Banyak kerja untuk kita lakukan dan rakan kongsi kita akan mereka program.

 

“Kerajaan Sarawak juga banyak menyokong usaha Centexs, mengetahui ia adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

 

Tambah beliau, Centexs akan mengambil bahagian di dalam program mempromosi kursus berkaitan digital di 40 lokasi termasuk di luar bandar.

 

Pada sidang media itu, Syeed Mohd Hussein berkata Simposium AntarabangsaTransformasi Industri Digital yang diadakan di Centexs Santubong pada 7 hingga 8 Jun berjaya menarik 2,600 penyertaan secara fizikal dan secara dalam talian.

 

Katanya, Huawei yang diwakili pengarah Asia Pasifiknya bercakap mengenai bandar pintar dan kepentingannya serta pengalaman di China.

 

“Disebabkan Sarawak ingin menjadikan Kuching, Sibu dan Miri sebagai bandar pintar, ini merupakan pengalaman bermakna kepada peserta simposium yang terdiri daripada pegawai kerajaan, swasta dan pelajar.

 

“Perkongsian memberikan gambaran sepenuhnya berhubung pengalaman dan cabaran teknologi bandar pintar,” ujar Syeed Mohd Hussein.

 

Selain itu katanya, wakil daripada rakan kongsi Centexs seperti Schlumberger, Bosch, Keysight Technologies, Sarawak Petchem, Sarawak Metro dan Sarawak Energy turut berkongsi pengalaman. — DagangNews.com