Cendawan hiasan tarikan unik di Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis | DagangNews Skip to main content

Cendawan hiasan tarikan unik di Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis

Fauziah Musa bersama jualan cendawan hiasan di gerai Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis.
Oleh Mohamad Iman

KANGAR 25 Mac - Cendawan hiasan yang menampilkan ciptaan cukup unik dan menarik hasil kreativiti pasangan suami isteri antara yang menjadi perhatian para pengunjung dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis.

 

Lebih istimewa, program yang berlangsung tiga hari di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini menjadi platform terbaik buat Mohd. Arif Fazilah Ramli,51, dan Fauziah Musa, 53, mengenengahkan hasil ciptaan mereka itu kepada pengunjung dari seluruh negara.

 

Malah, orang ramai tertarik mengunjungi gerai berkenaan bagi membeli cendawan hiasan tersebut sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

 

Fauziah berkata, uniknya, cendawan hiasan pelbagai bentuk dan rekaan itu menggunakan bahan-bahan terpakai seperti simen, paip lampu dan pasir sebelum proses mengecat.

 

Katanya, dia dan suami mengusahakan perniagaan cendawan hiasan itu sejak 12 tahun lalu namun hanya berskala kecil di rumah mereka di Tambun Tulang, Arau.

 

“Alhamdulilah, program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Perlis ini telah membantu saya mengenengahkan barangan ini untuk pasaran lebih meluas. 

 

“Ramai pengunjung khususnya dari luar negeri ini tertarik dengan cendawan hiasan ini dan kagum dengan ciptaan yang hanya menggunakan bahan-bahan terpakai,” katanya.


 

cendawan

 


Tambah Fauziah, proses membuat cendawan hiasan tersebut memerlukan ketelitian selain idea kreatif bagi menghasilkan barangan yang berkualiti serta menarik.

 

Katanya, cendawan tersebut sebelum ini dijual di pasar-pasar pagi dan menerima sambutan cukup memberangsangkan.

 

Ujarnya, peluang berniaga di program berskala besar seperti Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini merupakan pengalaman cukup berharga dan mereka juga dapat berjumpa dengan ramai orang dari seluruh negara.


 

akm

 

akm

 


“Peluang berniaga di sini digunakan sebaik-baiknya untuk mengenengahkan hasil ciptaan kami kepada pengunjung-pengunjung luar. Ramai yang tertarik dengan cendawan hiasan ini yang jarang ditemui di tempat-tempat lain.

 

“Malah dapat dilihat ada pengunjung yang beli lebih daripada dua cendawan hiasan tersebut sekali gus membantu kami menambah pendapatan. 

 

“Insya-Allah sambutan esok dan Ahad ini akan lebih memberangsangkan memandangkan cuti hujung minggu,” katanya yang juga usahawan Tekun itu.

 

Katanya lagi, harga cendawan hiasan yang ditawarkan itu adalah serendah RM3 sehingga RM50. - DagangNews.com