KUALA LUMPUR 1 Mac - CelcomDigi Bhd dan pengendali telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan, SK Telecom memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka dan membangunkan platform metaverse mudah alih pertama di Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat akan mencipta peluang perniagaan baharu menerusi kerjasama untuk membangunkan dan menawarkan kes-kes kegunaan metaverse dan kecerdasan buatan (AI) yang dioptimumkan untuk pasaran Malaysia, melalui Pusat Inovasi CelcomDigi.
Katanya, dengan memanfaatkan proses pengkomputeran pinggir (edge computing), pembangunan platform metaverse mudah alih pertama di Malaysia yang diterajui pengendali turut mendorong penciptaan bersama, serta menawarkan kandungan dan perkhidmatan metaverse baharu untuk pelanggan dan perniagaan di Malaysia.
"CelcomDigi dan SK Telecom akan meneroka penciptaan perkhidmatan metaverse merentasi vertikal-vertikal seperti pendidikan, kesihatan, peruncitan dan hiburan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan Ekosistem Metaverse di Malaysia," katanya.
Terdahulu, MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Young-sang Ryu pada Kongres Dunia Mudah Alih 2023 di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.
Idham berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan syarikat ICT global terkemuka, SK Telecom untuk membangungkan ekosistem Metaverse di Malaysia.
Beliau berkata, kerjasama ini akan menjadikan pihaknya pelopor dalam pembangunan perkhidmatan Metaverse yang inovatif untuk Malaysia dengan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk 5G.

"Ia adalah sebahagian daripada perjalanan kami untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan teknologi yang terkemuka di Malaysia.
"Kami berazam untuk berpadu tenaga dengan lebih banyak organisasi tempatan untuk mencipta kes kegunaan inovatif yang akan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi digital negara," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Ryu Youngsang berkata, ketika pihaknya melebarkan sayap ke pasaran global dengan platform metaverse ifland, syarikat-syarikat telekomunikasi utama di negara-negara dan rantau Asia Tenggara memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi.
Katanya, melangkah ke hadapan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat ituuntuk mengembangkan skop perkhidmatan metaverse. - DagangNews.com








