KUALA LUMPUR 9 Mac - CelcomDigi Bhd memudahkan pelanggan untuk terus berhubung sepanjang masa dengan memastikan semua premis Bluecube dan Kedai Digi bersama-sama rakan kongsi eksklusifnya memberi perkhidmatan yang lancar kepada pengguna.
Syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan memaklumkan, pada masa ini, terdapat 534 cawangan di seluruh negara yang diuruskan oleh pekerja runcit CelcomDigi yang berpengalaman.
"Hari ini, terdapat 11 jenis transaksi jualan dan perkhidmatan yang tersedia untuk pengguna Celcom dan Digi seperti pembayaran bil, perubahan pelan, penggantian kad SIM dan tambah nilai prabayar.
"Pelanggan Pascabayar dan Prabayar baharu Celcom dan Digi juga boleh melengkapkan pendaftaran pelan mereka, pendaftaran MNP, atau membuat pembelian internet di semua cawangan," katanya.
Menurut kenyataan itu, CelcomDigi berharap para pelanggannya dapat terus mendapatkan perkhidmatan dan pengalaman boleh dipercayai serta lancar yang telah mereka nikmati sebelum ini.
Katanya, bagi pengguna yang ingin menyelesaikan transaksi dalam talian, mereka boleh terus berbuat demikian melalui aplikasi Celcom Life dan MyDigi.

Melalui penyempurnaan penggabungannya pada 30 November 2022, CelcomDigi akan terus melayani keperluan digital yang semakin meningkat bagi lebih 20 juta pengguna, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara. - DagangNews.com








