KUALA LUMPUR 14 April - DKSH Business Unit Consumer Goods telah menandatangani perjanjian eksklusif dengan Cavico (M) Sdn Bhd untuk memasarkan produk penjagaan mulut Oradex di seluruh Malaysia.
Di bawah perkongsian ini, DKSH akan memanfaatkan rangkaian pengedaran yang meluas dan tinjauan pasarannya untuk membawa produk penjagaan mulut Oradex, termasuk ubat kumur dan ubat gigi terapeutik, kepada khalayak lebih luas di Malaysia.
Oradex mempunyai produk pencuci mulut dan ubat gigi yang serba boleh dan pelbagai fungsi ini direka dengan bahan yang selamat dan berkesan, termasuk agen antibakteria yang terbukti secara klinikal, sesuai untuk seisi keluarga.
Ia berkesan dalam merawat dan mencegah gingivitis, plak gigi, gusi berdarah, jangkitan mulut, ulser mulut, sakit tekak, nafas berbau serta sakit gigi dan gusi yang disebabkan oleh jangkitan.
Semua produk juga bebas daripada bahan kimia keras seperti natrium lauril sulfat dan paraben.
Mengulas berkenaan kerjasama tersebut, Pengarah Urusan Cavico, Jovina Tan berkata, DKSH merupakan rakan kongsi yang tepat untuk mengembangkan jejak syarikat dalam pasaran yang sangat kompetitif untuk penjagaan mulut ini.
“Kami berharap untuk melihat produk kami tersedia di lebih banyak kedai runcit dan dalam saluran baharu serta membawa manfaat penyelesaian inovatif kepada khalayak yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden FMCG DKSH Malaysia, Puneet Mishra berkata “Melalui rangkaian pengedaran kami dan pengetahuan pasaran yang mendalam, digabungkan dengan kepakaran Cavico dalam pembangunan produk penjagaan mulut, kami yakin dalam meningkatkan pengalaman pembersihan mulut dalam kalangan pengguna Malaysia.”
Cavico adalah pemilik jenama rangkaian produk penjagaan mulut Oradex yang dibangunkan dan dikilang di Malaysia.
Pengasas syarikat itu, seorang doktor gigi yang bertukar menjadi usahawan, mempelopori formulasi pencuci mulut tanpa alkohol pada tahun 1996 disokong oleh keputusan klinikal terbukti.
Visi syarikat Cavico adalah untuk menjadi jenama penjagaan mulut yang dipercayai, selamat dan boleh dipercayai pilihan pengguna. -DagangNews.com








