CapitaLand diiktiraf sebagai syarikat terbaik tahunan Sustainability & CSR Malaysia Awards kali kedua berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CapitaLand diiktiraf sebagai syarikat terbaik tahunan Sustainability & CSR Malaysia Awards kali kedua berturut-turut

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - CapitaLand meraih Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan di bawah kategori pusat beli-belah pada majlis Sustainability & CSR Malaysia Awards 2023 bagi kempen #GivingBersama 2.0.

 

Ia merupakan kemenangan kali kedua berturut-turut di bawah kategori tersebut. Tahun lepas, CapitaLand menerima anugerah bagi kategori sokongan untuk anak-anak yatim. 

 

Sustainability & CSR Malaysia Awards yang diadakan setiap tahun meraikan pencapaian ulung organisasi yang mengaplikasikan kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Malaysia.

 

Ketua Peruncitan CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, pihaknya sangat berbangga untuk menerima anugerah ini selama dua tahun berturut-turut dan masih komited untuk memberikan impak positif bagi memperkayakan kehidupan masyarakat yang tinggal di sekitar tempat pihaknya beroperasi. 

 

"Selain menderma, kami juga gembira dengan sokongan padu yang disalurkan oleh staf-staf, penyewa, rakan perniagaan, serta komuniti yang bersatu dalam membaiki kehidupan golongan yang memerlukan di Malaysia menerusi inisiatif #GivingBersama.

 

"Secara khususnya, kami percaya inisiatif yang menyokong pendidikan bakal menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berdaya tahan. Semenjak 2011, CapitaLand telah membantu lebih daripada 11,200 kanak-kanak yang memerlukan dengan sumbangan melebihi RM2.2 juta di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, CapitaLand melancarkan program #GivingBersama 2.0, sebuah program komuniti yang menyokong benefisiari dari rumah anak-anak yatim dan sekolah di Malaysia bagi keperluan pendidikan yang utuh, selaras dengan kempen global, #GivingAsOne. 

 

 

capitaland

 

 

Menerusi sokongan kebajikan CapitaLand Hope Foundation (CHF), kempen ini menyaksikan sumbangan barangan keperluan asas dan kelengkapan alatan sekolah bernilai RM64,000 kepada 1,200 benifisiari kanak-kanak dari 36 rumah anak-anak yatim dan sekolah di Pulau Pinang, Lembah Kelang, Kuantan dan Johor dari Oktober sehingga Disember 2022. 

 

Lebih daripada 80 sukarelawan, yang merupakan kakitangan CapitaLand telah menyumbangkan lebih kurang 590 jam bagi mengedarkan barangan keperluan tersebut dari bulan Oktober sehingga Disember 2022.

 

Program #GivingBersama 2.0 ini diteruskan berikutan hasil kejayaan kempen #GivingBersama yang mula-mula diperkenalkan pada 2021. Program ini yang dibiayai oleh CHF telah menyalurkan sumbangan bermakna kepada lebih daripada 650 kanak-kanak dari 17 rumah anak-anak yatim.

 

Kehadiran CapitaLand di Malaysia merangkumi kelas aset seperti kediaman, peruncitan, penginapan, logistik dan pusat perniagaan. 

 

Rangkaian peruncitannya terdiri darpada tujuh pusat beli-belah, yang mana enam daripadanya dimiliki oleh CapitaLand Malaysia Trust – 3 Damansara di Petaling Jaya, East Coast Mall di Kuantan, Gurney Plaza dan kepentingan majoriti di Queensbay Mall di Pulau Pinang, kepentingan majoriti di Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur dan The Mines di Seri Kembangan.  

 

Pusat beli-belah lain adalah Melawati Mall di Taman Melawati. CapitaLand juga mengendalikan operasi Nusajaya Tech Park, sebuah pusat industri berkeluasan 210 hektar terletak di Iskandar Puteri, Johor. - DagangNews.com