KUALA LUMPUR 31 Julai - Capital A telah memeterai kerjasama dengan UnionDigital Bank, anak syarikat Union Bank of the Philippines untuk perkhidmatan berkaitan teknologi kewangan (fintech) di Filipina bagi mempertingkat pengalaman pengguna airasia Superapp di Filipina.
Melibatkan tiga anak syarikat utama Capital A iaitu AirAsia, airasia Superapp dan BigPay, kerjasama tersebut akan lebih mudah digunakan dan boleh diakses kepada pelanggannya di Filipina.
Di bawah kerjasama tersebut, UnionDigital Bank akan menyedia kewangan terbenam atau meletakkan produk kewangan dengan kerjasama BigPay dalam platform perjalanan airasia Superapp iaitu saluran tempahan utama untuk penerbangan AirAsia di Filipina.
Jelasnya, sinergi tersebut akan memberikan pengalaman tempahan perjalanan yang lancar dan diperkaya untuk pengguna airasia Superapp, serta mengubah cara orang mengembara dan mengurus kewangan mereka.
Perkongsian tersebut akan meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang kerap (frequent flyer) dengan pilihan pembayaran fleksibel dengan Fly Now, tawaran Pay Later dalam airasia Superapp, dan tawaran eksklusif.
“Dengan UnionDigital sebagai rakan kongsi, kami kini melangkah untuk mencipta masa depan, di mana perjalanan memenuhi rumusan kewangan inovatif yang memudahkan perjalanan impian semua orang dengan kemudahan yang tiada taranya,” ujar Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.
Menurut Tony, hasil tinjauan di Filipina, syarikat itu mendapati bahawa 7 daripada 10 pelanggannya rajin menabung untuk rancangan perjalanan dengan berhati-hati mengurus belanjawan agar selesa, justeru menyemarakkan keazamannya untuk memecahkan halangan dan mewujudkan komuniti global yang lebih terhubung dan inklusif.
Perkongsian dengan bank digital itu membolehkan BigPay, dompet mudah alih terkemuka yang menyediakan perkhidmatan kewangan di Malaysia dan Singapura, untuk berkembang ke pasaran Filipina.
“Ketika pelancongan berkembang pesat di rantau ini, kami teruja untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dan pembayaran hujung ke hujung bagi rakyat Filipina melalui kerjasama kami dengan Union Digital Bank dan airasia.
“Melalui perkongsian ini, BigPay selangkah lebih dekat untuk menjadikan perkhidmatan kewangan kami sangat mudah diakses di Filipina, dengan misi memperkasakan orang ramai untuk meningkatkan kehidupan mereka, satu transaksi pada satu masa.” kata Ketua Pegawai Eksekutif BigPay, Zubin Rada Krishnan. - DagangNews.com








