SEPANG 16 Jun - Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad) menerima sokongan pemegang saham untuk melaksanakan strategi dan pelan perniagaan Kumpulan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kelima hari ini.
Mesyuarat AGM itu juga menyaksikan semua resolusi yang dibentangkan telah diluluskan sebulat suara.
Capital A juga telah menerima laporan audit bersih oleh Juruaudit Ernst & Young, dan diterima oleh para pemegang saham sekaligus menunjukkan keyakinan mereka terhadap keupayaan Capital A untuk meneruskan perniagaannya pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A,Tan Sri Tony Fernandes berkata, laporan audit bersih ini merupakan langkah yang penting untuk menangani isu status PN17 dan syarikat yakin akan dapat mengatasinya dalam beberapa bulan akan datang.
Menurutnya, pelan penyusunan semula status PN17 berada pada landasan yang betul, di mana pihak pengurusan sedang bekerja keras untuk membangunkan pelan tersebut dengan mengambil kira pelbagai solusi tanpa cadangan untuk kecairan modal atau peningkatan ekuiti.
"Kami yakin dapat memenuhi tarikh akhir untuk menyerahkan pelan tersebut kepada pihak Bursa Malaysia pada awal Januari 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fernandez berkata, berdasarkan permintaan kukuh terhadap perjalanan udara serta rancangan untuk pulih kepada kapasiti pra-COVID, syarikat mempunyai pelan yang strategik untuk kembali terbang tinggi dengan model yang lebih kukuh untuk mencapai operasi yang lebih baik dan berdaya maju untuk masa hadapan.
Dari sudut digital pula ujar beliau, syarikat akan terus mengorak langkah bersama cita-cita untuk menjadi aplikasi super pilihan terkemuka di ASEAN, menjadikan Teleport sebagai penyedia perkhidmatan logistik terkemuka dengan rangkaian terpantas dan terbaik serta menjadikan BigPay sebagai neobank yang memberikan nilai terbaik di seluruh rangkaian kewangan syarikat.
"Kami juga berusaha untuk menjadi pilihan utama kepada para pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan bernilai terbaik pada kos terendah untuk semua,” katanya.
Mengenai rancangan untuk menyenaraikan AirAsia atau perniagaan digital di AS, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Kumpulan kami sedang menilai semua pilihan pengumpulan dana, termasuk tawaran persendirian, penyenaraian langsung atau penyenaraian melalui penggabungan dengan SPAC (Syarikat Tujuan Khas)”.
"Penyenaraian awam di bursa AS amat menarik memandangkan senarai tersebut mampu memberikan kecairan dan menjangkau pelbagai pelabur,” kata beliau. - DagangNews.con








